NOVEMBER 2024

148 Penerima Terima Darjah Kebesaran Negeri Sarawak


KUCHING: Seramai 148 penerima termasuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dikurniakan Pingat dan Darjah-darjah Kebesaran Negeri Sarawak hari ini. 

Istiadat disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Dewan Besar, Astana Negeri Sarawak, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Mendahului senarai penerima ialah Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli dan Ahli Parlimen Lubok Antu  Roy Angau Gingkoi yang menerima Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak Pegawai Bintang Sarawak (P.B.S.). 

Turut menerima darjah kebesaran ialah ADUN Machan, Allan Siden Gramong, ADUN Simunjan, Awla Dris, ADUN Opar, Billy Sujang, ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, ADUN Katibas, Lidam Assan, dan ADUN Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin.

Penerima lain ialah Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UNIMAS, Prof Dr Asri Said dan Setiausaha Sulit Kanan di Pejabat Yang di-Pertua Dewan Negara, Mohammad Fahmi Mustafa.

ADUN Ngemah, Anyi Jana pula mengetuai senarai bagi penerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Pegawai Bintang Kenyalang (P.B.K). 

Seterusnya Pingat Pentadbiran Awam Pingat Perkhidmatan Bakti (P.P.K)  (26 penerima), Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak Ahli Bintang Sarawak (A.B.S) (16 orang penerima), Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Ahli Bintang Kenyalang (A.B.K) ( lapan penerima), Pingat Pentadbiran Awam Pingat Perkhidmatan Terpuji (P.P.T)  (41 penerima) dan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak Bentara Bintang Sarawak (B.B.S) (38 penerima). 

Turut hadir ialah isteri TYT, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi II Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Pengangkutan II Dato Henry Harry Jinep, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Integriti dan Ombudsman Datuk Dr Juanda Jaya, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan II Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik.

GAMBAR:JABATAN PENERANGAN