JANUARI 2021

22 Stesen Telemetri Pantau Paras Air, Patuhi Arahan Berpindah


KUCHING: Maklumat hujan dan paras air daripada 22 stesen telemetri digunakan oleh Operator Baraj Kuching bersama-sama Kementerian Pengangkutan dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSSS) dalam mengurus pelepasan air berlebihan dari kawasan tadahan Sungai Sarawak ke laut.

Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin berkata, kesemua 22 stesen telemetri terbabit berfungsi baik dengan memberi data masa sebenar berterusan ke bilik Operator Baraj Kuching.

LSSS turut menghantar pasukan ke kampung-kampung telemetri itu ditempatkan bagi menjelaskan kepada penduduk tentang perlu berpindah ke kawasan lebih tinggi sejurus siren dari stesen berkenaan berbunyi akibat kenaikan paras air, katanya dalam  kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebagai persediaan dalam menghadapi cuaca tidak menentu disertai air pasang besar, beliau bersama-sama pegawai dari kementeriannya dan LSSS dan kakitangan Operator Baraj Kuching melawat, memeriksa dan menguji stesen telemetri di seluruh kawasan tadahan Sungai Sarawak semalam.

“Bilik operasi di Ibu Pejabat LSSS yang dibuka 24 jam dan disambung ke bilik Operasi Baraj Kuching diaktifkan bagi  memantau rapi situasi paras air,” katanya.

Dengan keadaan cuaca tidak menentu diramalkan oleh Jabatan Kajicuaca sejak beberapa hari ini, beliau menasihati mereka yang tinggal di kawasan rendah supaya sentiasa berjaga-jaga dan mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

“Saya melawat bilik Operasi Baraj Kuching semalam dan diberi taklimat mengenai situasai terkini paras air di kawasan tadahan Sungan Sarawak yang naik ekoran hujan lebat dan air pasang besar,” katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti