Dewan untuk Batu Lintang

Tarikh Disiarkan : 23-Nov-2014

SRI AMAN, Ahad – Kerajaan telah meluluskan cadangan bagi membina sebuah dewan bagi tujuan kegunaan semua lapisan penduduk di dalam kawasan Batu Lintang, Sri Aman. Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis, dokumen penyerahan tapak tanah perlu dilakukan terlebih dahulu bagi membolehkan projek pembinaan dewan itu dilaksana.

“Kos bagi menjayakan projek dewan berkenaan adalah RM500,000. Tujuannya adalah untuk membolehkan penduduk di kawasan Batu Lintang, Sri Aman melaksana pelbagai aktiviti dari masa ke semasa. “Justeru saya mohon semua kepada penduduk di kawasan Batu Lintang, Sri Aman supaya memberi kerjasama kepada kerajaan demi membolehkan projek ini dilaksana dengan lancar kelak,” kata beliau.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Merarau Bersama Pemimpin anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Lintang, Sri Aman baru-baru ini. Harden pada majlis berkenaan juga berkata bahawa beliau akan terus berusaha untuk membantu membina dewan sekolah di SK Batu Lintang disamping memperbaiki kuarters kediaman guru serta asrama yang rosak. “Keselesaan hidup para guru dan murid di SK Batu Lintang akan diutamakan. Ia penting demi tidak memberi kesan terhadap proses pembelajaran akademik dalam kalangan murid di situ dari masa ke semasa,” kata beliau.

Hadir sama ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Datuk Dorris Sophia Brodie, Pembantu Khas Ahli Parlimen Sri Aman, Edmund Pirang, Guru Besar SK Batu Lintang, Leonard Libau Anol dan Yang Dipertua PIBG SK Batu Lintang, Along Kang. Harden pada majlis itu telah pun mengumum peruntukan sebanyak RM5,000 SK Batu Lintang bagi tujuan pembelian alat siaraya dengan RM10,000 adalah untuk membina dewan untuk sekolah terbabit.

Beliau pada majlis itu juga turut menyerahkan cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang mencatat nilai keseluruhan berjumlah RM180,000 kepada satu persatuan, tiga PIBG, dua gereja dan 20 buah JKKK di sini.