Semua murid Tahun Satu 2020 perlu duduki pra-sekolah

Tarikh Disiarkan : 22-Nov-2014

BEKENU, Jumaat – Kerajaan mahu seratus peratus murid yang masuk Tahun Satu pada tahun 2020 kelak merupakan pelajar yang pernah menduduki pra-sekolah yang menerima pendidikan awal kanak-kanak.

Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus berkata demikian dalam majlis penyerahan KWAPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bekenu di sini pagi tadi.

Katanya, kerajaan yang serius dalam menjaga kepentingan pembangunan pendidikan telah banyak menyediakan pelbagai bantuan persekolahan dan ini tidak ada sebab lagi anak-anak tidak dapat bersekolah.

“Dengan adanya bantuan kewangan sejumlah RM300 (KWAMP) kepada keluarga pelajar yang kurang berkemampuan akan mampu meringankan lagi bebanan yang ditanggung,” katanya.

“Kerajaan sangat peka tentang masalah masyarakat terutamanya yang mempunyai ramai ahli keluarga dan anak-anak bersekolah, maka bantuan ini sangat bermakna buat keluarga yang kurang kemampuan,” jelasnya.

Tambahan, bantuan tersebut tidak perlu dihiraukan dan kerajaan tidak mohon ia dibayar balik sebab kerajaan tidak mahu ada anak-anak di luar bandar tercicir untuk menuntut ilmu di sekolah.

“Cara paling sesuai untuk pelajar membayar balik bantuan itu hanya dengan belajar dengan bersungguh-sungguh mendapat pencapaian cemerlang pada masa akan datang kelak,” katanya.

Rosey Yunus merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N.61 Bekenu menyuruh ibu bapa atau penjaga yang kurang kemampuan supaya mohon bantuan kewangan tersebut.

Pihak sekolah akan memberi sokongan terhadap permohonan dengan syarat borang perlu diisi secara lengkap dan penyataan gaji yang benar.

“Bantuan juga akan diberi kepada pelajar miskin yang mempunyai peningkatan dalam akademik dan mempunyai disiplin yang baik ketika di sekolah,” ujarnya.