Utamakan pembangunan luar bandar

Share:Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on Google+Print this pageEmail this to someone

Tarikh Disiarkan : 08-Nov-2014

 

BAKONG, Jumaat – Kerajaan sentiasa menghargai sokongan yang diberikan rakyat kepada program dan rancangan pembangunan terutama pembangunan kawasan luar bandar di negeri ini. Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) dan Pertanian (Pertubuhan Peladang), Datuk Sylvester Entri berkata, oleh itu fokus sentiasa diberikan kepada pembangunan di kawasan luar bandar selari dengan sokongan kuat masyarakat luar bandar kepada kerajaan yang terbukti setiap kali menjelang pilihan raya.

“Kita melihat bagaimana sokongan diberikan oleh penduduk di Rumah Berauh ini semasa program kita pada 18 Oktober lalu. “Kehadiran lebih dari 6,000 penyokong dari seluruh Marudi, dari Bekenu dan banyak lagi kawasan lain memberi maklum balas yang masyarakat luar bandar sentiasa kuat menyokong kerajaan terutamanya program pembangunan yang dibawa oleh kerajaan,” katanya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi berkata demikian sempena Majlis Penghargaan di Rumah Berauh, Sungai Entulang di sini.

Majlis tersebut diadakan sebagai tanda penghargaan kepada penduduk di Rumah Berauh yang berjaya menganjurkan program Randau Rakyat anjuran TERAS bersama JKKK Sungai Entulang, Bakong pada 18 Oktober yang lalu sehingga berjaya menarik kehadiran lebih 6,000 penduduk sekitar Marudi, Bekenu, Limbang dan beberapa kawasan lain di seluruh negeri ini.

Entri berkata, beliau akan terus memberikan fokus kepada usaha membantu membangunkan masyarakat luar bandar terutamanya di Marudi yang sentiasa memberikan sokongan kuat kepadanya sejak menjadi wakil rakyat kawasan itu. “Selain majlis penghargaan seperti ini, kerajaan juga akan terus mencari jalan membangunkan masyarakat luar bandar sebagai membalas sokongan yang telah diberikan oleh masyarakat luar bandar kepada kerajaan selama ini,” katanya. Entri dalam pada itu turut memberitahu pihaknya telah berbincang dengan pihak bertanggungjawab bagi menyelesaikan masalah tempat pembuangan sampah rumah panjang itu dan beliau juga turut mencadangkan penduduk rumah panjang agar menghantar permohonan untuk projek pembinaan laluan khas yang akan menyambung Block A, Block B dan Block C di rumah panjang itu.