Kenal pasti kesan CBP

Kuala Lumpur, Rabu – Kejayaan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) memerlukan syarikat perniagaan mengenal pasti perkara utama kesannya bagi membolehkan mereka lebih memahami hala tujunya. Hanya dengan cara itu, kata seorang pakar perancangan sumber perusahaan (ERP), syarikat mampu mencari perisian yang membolehkan mereka mengurus data diperlukan, usaha dokumentasi, merekod dan melaporkan pematuhan cukai berkenaan. Pengarah Urusan Delta 5 Group Tom Chong turut mengingatkan, pelaksanaan CBP memberi impak kepada keseluruhan keberkesanan perniagaan seperti sudut perakaunan dan kewangan sehinggalah aspek sumber manusia, strategi jualan dan pemasaran serta pentadbiran.
“Semua pekerja terbabit perlu dilatih sewajarnya bagi mendapatkan pandangan jelas mengenai apa dan bagaimana perisian sesuai,” katanya. Beliau berkata demikian pada seminar bertajuk ‘Lakukan Sekarang dan Secara Tepat : Mempersiapkan Perniagaan Untuk CBP’. Seminar pada 24 November lalu, ditaja Epicor Software Corporation dan Delta 5 Group adalah penjual perisian ERP Epicor.
Ia anjuran bersama Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam bagi memastikan kelancaran peralihan perniagaan kepada CBP yang akan berkuatkuasa 1 April depan. Dalam satu kenyataan hari ini, Epicor menyifatkan pendaftaran CBP menjadi tumpuan utama pihak Kastam Diraja Malaysia dan syarikat yang berpendapatan RM500,000.
“Biarpun banyak sudah dibuat pihak Kastam bagi menggalakkan pendaftaran CBP tahun ini, dijangkakan hanya 200,000 daripada 300,000 syarikat terbabit akan mendaftar menjelang tarikh akhir 31 Disember ini. “Ramai yang bersikap tunggu dan lihat biarpun menyedari penalti yang akan dikenakan terhadap syarikat yang gagal mendaftar,” katanya. Mengikut statistik Jabatan Kastam, jumlah syarikat yang mendaftar bagi CBP adalah sebanyak 164,609 setakat semalam. – Bernama