Perniagaan koperasi pemangkin ekonomi

Kuching, Khamis – Kerajaan berhasrat menjadikan perniagaan koperasi sebagai pemangkin dalam usaha memantapkan pertumbuhan ekonomi negara. Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera), Datuk Haji Mohd Naroden Majais berkata demikian kerana sektor itu berpotensi memberi sumbangan penting kepada peningkatan ekonomi sesebuah keluarga dan juga masyarakat. “Justeru, gerakan koperasi di negeri ini disaran untuk lebih pro aktif dan berdaya saing agar ia terus memberi faedah kepada anggota-anggotanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Konvensyen Transformasi Modal Insan Koperasi bertemakan “Rantaian Nilai Menjana Keberhasilan Perniagaan Kopersi” di Hotel Pullman di sini hari ini. Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Akademik) Maktab Koperasi Malaysia (MKM), Norwatim Abdul Latif dan Pengarah MKM Cawangan Sarawak, Ngadi Robin. Kata Naroden, perubahan yang berlaku dalam persekitaran perniagaan membantu gerakan koperasi lebih berdaya saing dan lebih maju dalam menjana ekonomi mereka.
Menurutnya, bilangan koperasi di seluruh Malaysia sehingga tahun 2013 adalah berjumlah 10,914 buah dengan jumlah aset keseluruhan sebanyak RM107,899 juta. “Sementara, di negeri Sarawak pula, bilangan koperasinya sebanyak 883 buah dengan jumlah aset bernilai RM515 juta” melihat kepada perkembangan ini, kita mensasarkan gerakan koperasi akan dapat meningkatkan sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 10 peratus dengan peningkatan pendaftaran koperasi menjadi 16,000 pada tahun 2020,” jelasnya. Bercakap mengenai tema konvensyen, Naroden berkata ia adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan gerakan koperasi sebagai sektor ketiga dalam pembangunan ekonomi negara.
Ujarnya, konsep rantaian nilai telah mula digunakan sejak lebih 20 tahun lalu dan ia berkait rapat dengan konsep rantaian bekalan dalam dunia perniagaan. “Dengan persekitaran perniagaan yang semakin mencabar, koperasi perlu mencari idea baru dalam memastikan produk mereka terus diterima dan disokong oleh pengguna dan masyarakat,” katanya.
“Salah satunya ialah melalui penghasilan nilai tambah dalam produk sedia ada. Saya harap gerakan koperasi terutama yang menyertai konvensyen ini untuk memanfaatkan ruang dan peluang yang diberikan oleh kerajaan untuk memajukan perniagaan mereka masing-masing,” ujarnya.