Persempadanan semula kawasan pilihan raya perlu

Share:Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on Google+Print this pageEmail this to someone

KUCHING: Persempadanan semula kawasan pilihan raya perlu dilakukan khususnya di kawasan luar bandar agar perkhidmatan dapat di-sampaikan kepada rakyat secara efektif, kata Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Datuk Amar James Masing.

Beliau berkata, luar bandar di Sarawak adalah satu kawasan yang besar yang memerlukan lebih ramai wakil rakyat untuk menjaganya.

“Justeru, penekanan terhadap kawasan luar bandar merupakan langkah baik dari segi penyampaian perkhidmatan kepada penduduk luar bandar,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, semalam.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Tanah turut men-dedahkan bahawa SPR sedang mengkaji Hulu Rajang sebagai kawasan yang mungkin, di mana peningkatan kerusi DUN boleh dipertimbangkan selain di Sri Aman.

“Penduduk luar bandar lebih memahami dan menghargai pembangunan diberi kepada mereka dan bersedia membalas dengan sewajarnya apabila pilihan raya tiba, berbanding penduduk bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan The Borneo Post baru-baru ini, Sembilan Kerusi Baharu berkemungkinan diwujudkan daripada persempadanan.

Pengerusi SPR Datu Takun Sunggah dipetik sebagai berkata dalam laporan itu, proses persempadanan yang terakhir pada 2001 menghasilkan sembilan kerusi negeri yang baharu. Setakat ini Sarawak mempunyai 71 kerusi negeri dan 31 kerusi Parlimen.

“Kali ini, mungkin ada lebih daripada sembilan (kerusi), atau kurang. Ia semua bergantung kepada SPR,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Fadillah Yusof turut sependapat dengan Masing agar pengkhususan dapat diberi oleh wakil rakyat.

“Saya memang sokong sebab Sarawak negeri yang luas. Penambahan kerusi menbolehkan lebih ramai ADUN mewakili kawasan masing masing.

“Lagipun memang dibenarkan untuk review (dinilai semula) di bawah perunda-ngan,” katanya.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UNIMAS Profesor Mohd Fadzil Abdul Rahman pula berkata, persempadanan semula wajar dijalankan di Sarawak, sekiranya ia akan memberi manfaat kepada penduduk di kawasan-kawasan terpilih.

Secara peribadi katanya, beliau berpendapat persempadanan itu bukan hanya berlandaskan kepentingan sese-buah parti bagi menambahkan kerusi tetapi membolehkan se-seorang wakil rakyat berkhidmat dengan lebih baik.

“Kalau persempadanan dibuat atas alasan geografi atau populasi atau sekadar ingin menambah bilangan kerusi tanpa perancangan penduduk dapat rahmat, maka saya rasa tidak ada siginifikan kerana bagi saya ia dilakukan untuk mengecilkan kawasan, agar wakil rakyat dapat beri tumpuan bagi membangunkannya.

“Andai kata ia memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat saya berpandangan ia sangat wajar kerana tujuan utama persempadanan bagi saya adalah manfaat kepada rakyat kawasan itu,” kata-nya.

Fadzil berkata sebuah pe-nanda aras perlu diwujudkan di kawasan baharu kelak bagi mengukur kemakmuran dari segi manfaat kepada rakyat.

“Apakah persempadanan kawasan itu lebih terbela selepas itu. Adakah kawasan-kawasan baharu yang akan diwujudkan dapat menikmati rahmat? Itu persoalan yang perlu ditanya.

“Kita boleh tengok balik memandangkan persempadanan semula dilakukan 13 tahun dahulu, kita tengok balik apa signifikan sebelum dan selepas persempadanan dan selepas itu… apa manfaat jelas,” katanya.

Ketua Parti Tindakan Demokratik (DAP) Cawangan Sri Aman Leon Jimat Donald pula berpendapat, persempadanan semula itu memfokuskan kawasan mesra BN tetapi seolah-olah tidak mempedulikan kawasan majoriti Cina.

Justeru katanya, mana-mana penambahan kerusi negeri atau Parlimen wajar mendapat persetujuan daripada semua pihak termasuk pembangkang.

“Mesti ada konsesi iaitu misalnya, Kuching sahaja perlu ada satu kerusi Parlimen tambahan dan sekurang-kurangnya dua lagi kerusi majoriti Cina dan kami belum menambah Sibu, Bintulu dan Miri lagi.

“Oleh itu sekurang-kurangnya tujuh kerusi majoriti Cina baharu sebagai tambahan kepada cadangan sembilan kerusi itu,” katanya.

Manakala Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee dalam blog PAS-Miri berkata, Sarawak memang memerlukan lebih banyak kawasan Parlimen dan kawasan DUN baharu untuk memudahkan pentadbiran dijalankan dengan baik dan lancar.

Walaupun penduduk Sarawak tinggal secara bertaburan dan jauh dari kawasan bandar katanya,  perkara ini perlu dikaji semula untuk memenuhi keperluan penduduk tersebut agar mereka juga dapat menunaikan hak mereka sebagai pemilih.

“Perkara ini perlu diberi perhatian oleh pihak SPR untuk menjadikan kawasan yang ramai penduduk dipecahkan mengikut lokaliti dalam kawasan yang padat dengan penduduk agar memudahkan pihak berkuasa memberi kemudahan asas kepada kawasan tersebut.

“Penambahan kerusi untuk DUN dan Parlimen akan menjadikan Sarawak mempunyai DUN dan Parlimen terbanyak dalam Malaysia sekiranya perkara ini menjadi kenyataan,” katanya.