PBB SEPINTAS LALU

Share:Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on Google+Print this pageEmail this to someone

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada asalnya ditubuhkan daripada percantuman tiga buah parti di Sarawak iaitu Parti Negara Sarawak (PANAS), Barisan Rakyat Jati Sarawak (BARJASA) dan Parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA).

Percantuman ini adalah berdasarkan perjuangan untuk meningkatkan kehidupan dan membela nasib kaum Bumiputera dalam pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi dan sosial.

Sejarah awal penubuhan PBB adalah atas ilham dan inisiatif Setiausaha Agung BARJASA yang muda dan idealistik ketika itu iaitu Ketua Menteri dan Presiden PBB sekarang, iaitu YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.

PANAS merupakan parti politik kedua ditubuhkan di Sarawak pada 9 April 1960. Ia diasaskan oleh Datu Bandar Abang Haji Mustapha kira-kira 10 bulan selepas Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), parti politik pertama di Sarawak didaftarkan.

Pada peringkat permulaannya, parti ini tidak mendapat sokongan yang menggalakkan daripada orang Melayu sendiri tetapi selepas dua tahun, PANAS mula diterima apabila seramai 62,795 ahli menganggotainya.

Ketika itu PANAS sudah menubuhkan 65 cawangan di seluruh negeri dan dianggotai kira-kira 20,000 orang Melayu, 20,000 suku kaum Iban, 10,000 suku kaum Bidayuh termasuk beratus orang lain daripada kaum Cina.

Setelah pendaftaran PANAS diluluskan secara rasmi pada 9 April 1960, Datu Bandar Abang Haji Mustapha dilantik sebagai Pengerusi dan adiknya Abang Othman dilantik sebagai Setiausaha Agung. Abang Othman meletakkan jawatan sebagai Timbalan Penguasa Polis untuk sama-sama mengasaskan parti tersebut.

PANAS mendukung tujuan melindungi, memelihara dan memajukan kepentingan politik, pelajaran, keagamaan, ekonomi, sosial dan kebudayaan rakyat seluruh negeri khasnya bumiputera.

Diantara tokoh yang menjadi tulang belakang PANAS ialah seperti Tan Sri Datuk Ikhwan Zaini selaku Ahli Majlis Tertinggi, Naib-Naib Pengerusi ialah William Tan, Edward Jerah dan Austin Jaya.

Manakala Penolong Setiausaha Agung disandang oleh Lo Foot Kee dan Andrew Landau. Bendahari pula ialah Tan Tsak Yu dan penolongnya Leong Ho Yuen. Ahli-Ahli Jawatankuasa terdiri daripada Penghulu Haji Dol Osman, Abong Taib, Jalel Ubong, Stephen Harry, Edward Menlis, Sim Peng Cho, Chin Poh Luke dan Ngui Ah Sin.

BARJASA ditubuhkan pada Disember 1961 sebagai alternatif kepada masyarakat Islam dan mendapat sokongan kuat daripada orang Melayu dan suku kaum Melanau daripada bahagian Sri Aman dan Sibu. Ia dipengerusikan oleh Tuanku Haji Bujang dan Encik Alfred Unteng Mason selaku Setiausaha Agung.

Penyertaan keahlian kebanyakannya daripada golongan muda yang berpelajaran. Diantara mereka ialah Datuk Patinggi Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau adalah diantara beberapa tokoh yang memainkan peranan dibelakang tabir BARJASA untuk menggerakkan jentera parti.

PESAKA atau dikenali juga sebagai PAPAS ditubuhkan pada Julai 1962 dan merupakan parti kedua kaum Iban selepas Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) didaftarkan pada Mac 1961. Ia ditubuhkan untuk menentang SNAP yang mendapat sokongan kuat daripada kaum Iban Sibu.

Tun Jugah yang dulunya menganggotai PANAS meninggalkan parti tersebut untuk bersama-sama empat orang pemimpin daripada kaumnya iaitu dari Sibu mengasaskan PESAKA.

Sebelum pilihanraya negeri yang pertama pada Januari 1963, BARJASA, SNAP, PESAKA dan SCA (Persatuan Cina Sarawak) membentuk sebuah Parti Perikatan pada Julai 1962. Ia dipengerusikan oleh Tun Jugah dan Datuk Stephen Kalong Ningkan sebagai Setiausaha Agung.

Walau bagaimanapun PANAS menarik diri daripada Perikatan menjelang pengundian untuk menyertai parti pembangkang iaitu SUPP.

Selepas pilihanraya, Parti Perikatan ternyata mendapat keputusan yang menyakinkan dan membentuk Kabinet Negeri yang pertama dan Datuk Kalong Ningkan dilantik menjadi Ketua Menteri pertama manakala Tun Jugah dilantik menganggotai Kabinet Persekutuan di Kuala Lumpur selaku Menteri Hal Ehwal Sarawak.

Diantara tahun 1963 dan 1966, politik Sarawak mengalami pergolakan yang hebat disebabkan terlalu banyak parti politik sehingga mencetuskan krisis demi krisis yang sesetengahnya berbau perkauman. Krisis ini akhirnya tamat dengan pengyingkiran Datuk Ningkan sebagai Presiden SNAP.

Menggantikan tempat Datuk Ningkan sebagai Ketua Menteri baru ketika itu ialah Penghulu Tawi Seli. Didalam kabinetnya mempunyai tiga orang ahli PESAKA termasuk beliau sendiri, dua ahli BARJASA termasuk Datuk Patinggi Taib dan seorang ahli PANAS. PANAS menyertai semula perikatan hanya sebelum pengyingkiran Datuk Ningkan.

Sarawak mencapai satu satu lagi kemajuan didalam politik apabila BARJASA dan PANAS bercantum membentuk Parti Bumiputera dalam bulan Mac 1968. Datuk Patinggi Taib menjadi penggerak utama kearah percantuman itu.

Parti Bumiputera diketuai oleh Allahyarham Tan Sri Datuk Amar Abang Ikhwan Zaini dengan Datuk Taib memegang jawatan Setiausaha Agung.

Kekuatan parti dan perpaduan terus diperkukuh apabila Parti BUMIPUTERA dan PESAKA bercantum melahirkan Parti PBB pada 30 April 1973.

Tun Jugah yang pada ketika itu selaku Menteri Hal Ehwal Sarawak telah dilantik sebagai Presiden pertama PBB.

Datuk Patinggi Taib memegang jawatan Presiden PBB secara automatik apabila memenangi jawatan Presiden tanpa bertanding pada 1981 sehingga sekarang.

Kewujudan parti ini sebagai satu komponen terbesar dalam Barisan Nasional Negeri telah mengukuhkan lagi kedudukan Bumiputera.

Sejak penubuhannya, keahlian PBB telah meningkat dengan banyaknya sehingga kini dalam 56 Bahagian, ahli-ahli telah menjangkau 300,000 orang dengan lebih 1,000 cawangan di seluruh negeri. Ia disokong penuh oleh kaum Bumiputera terutama golongan Melayu-Melanau, Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.