Kampung Sejingkat kini semakin padat: Wan Junaidi

Share:Share on FacebookTweet about this on TwitterShare on Google+Print this pageEmail this to someone

Perkampungan atau penempatan baharu perlu diwujudkan bagi mengatasi masalah kepadatan dan pertambahan penduduk di Kampung Sejingkat, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Justeru, pihaknya kini sedang dalam proses perbincangan dengan Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg dan pihak berkuasa berkaitan perkara tersebut.

Namun begitu jelasnya, terdapat beberapa syarat perlu dipenuhi terlebih dahulu untuk menjayakan rancangan tersebut, mengikut sistem sama yang dilaksana dalam Projek Pembangunan Darul Hana.

“Antaranya ialah setiap tanah di sini perlu diukur dan mendapat geran (kepala tanah) terlebih dahulu.

“Selain itu, setiap tanah di kampung ini perlu dinilai berdasarkan harga kerana dengan itu penduduk dapat menggunakannya bagi membayar rumah yang dirancang di penempatan baharu kelak seperti RMR, PR1MA atau PPR.

“Untuk itu, kita akan berbincang dengan lebih dalam lagi dengan Abang Johari dengan harapan penduduk di Kampung Sejingkat ini dapat dipindahkan dan hidup dengan lebih selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Doa Selamat Masjid Darul Ehsan Kampung Sejingkat di sini, semalam.

Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong menambah, selain mengikut model Darul Hana, perkampungan baharu itu juga dirancang mengikut langkah seperti yang telah dilaksanakan di Kampung Salak.

Jelasnya, pemindahan akan memberi keutamaan kepada penduduk paling ramai dalam sebuah rumah.

“Seperti di Kampung Salak, kerajaan tidak memindahkan rumah mereka tetapi memberi keutamaan kepada isi rumah yang ramai dalam sebuah rumah tersebut untuk dipindahkan,” jelasnya.

Terdahulu, Penghulu Kampung Sejingkat Edama Mohamad dalam ucapannya berharap tapak perkampungan baharu dirancang dibina di kawasan berdekatan kampung itu.

Sebanyak 200 rumah dengan bilangan penduduk kira-kira 1,153 orang menghuni Kampung Sejingkat hingga kini.