OKTOBER 2019

Amanah Adalah Landasan Utama Pengurusan Masjid Dan Surau


KUCHING, 2 Oktober 2019 - YAB Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Abang Haji Openg menyempurnakan Majlis Penutupan Seminar Integriti Kepimpinan Masjid dan Surau Negeri Sarawak di sini petang tadi.

Sejurus ketibaan, YAB Ketua Menteri disambut dengan paluan kompang dan laungan selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W. seterusnya majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Ibu Pertiwiku.

Seterusnya majlis dihiburkan dengan persembahan nasyid oleh Kumpulan Wildaniey.

Dalam ucapannya, YAB Ketua Menteri menggariskan konsep amanah haruslah menjadi tunjang utama dalam pentadbiran dan pengurusan masjid dan surau di Sarawak serta dalam segala bentuk pengurusan organisasi Islam di negeri ini. Dengan mengambil contoh teladan Nabi Muhammad S.A.W. yang berlaku adil dalam kepimpinannya terhadap masyarakat Islam dan bukan Islam telah terbukti membentuk satu tamadun Islam yang berjaya.

Semasa dalam majlis berkenaan, bacaan lafaz ikrar integriti turut dibacakan bersama semua hadirin yang diketuai oleh Pengerusi Masjid Al- Abyad Matang, Ustaz Haji Mohamad Ahir bin Ahmad.

Hadir sama di majlis berkenaan adalah Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan DBKU dan Menteri Muda Utiliti Bekalan Air, Y.B. Datuk Dr. Abdul Rahman bin Junaidi, Yang di- Pertua Malis Islam Sarawak, Datu Haji Misnu bin Taha dan Mufti Negeri Sarawak Datu Dr. Kipli bin Haji Yassin.

Sumber dari: Sarawakku