MIRI: Kerajaan Sarawak bersetuju membina stadium di setiap daerah negeri ini untuk memastikan aktiviti sukan dapat dijalankan dengan sempurna.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, beliau menyambut baik cadangan agar setiap daerah mahupun daerah kecil mempunyai stadium dalam usaha menyediakan lebih banyak kemudahan sukan di negeri ini.
“Sebelum ini, ada cadangan supaya menyediakan banyak kemudahan sukan, justeru saya menyambut baik cadangan itu dan bersetuju membina stadium di semua daerah mahupun daerah kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian pada perasmian Kejohanan Sukan Sarawak (SUKSAR) II Miri 2019 di Stadium Tertutup di sini, hari ini.
Oleh itu kata Abang Johari, kerajaan Sarawak sentiasa menyokong penuh malah sedia melabur untuk kemudahan sukan di negeri ini.
Katanya, Sarawak sudah membuktikan kemampuan untuk melahirkan atlet bertaraf dunia seperti ratu terjun negara, Pandelela Rinong.
“Pandelela sudah membuktikan anak Sarawak boleh berjaya dan kita sangat bangga dengan pencapaian beliau,” katanya.
Katanya, penganjuran Sukan Sarawak (SUKSAR) Edisi Ke-11 2019, menjadi perintis untuk merangkul gelaran juara pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 di Johor Bahru.
Sumber dari : Jiwa Bakti