Ogos 2019

Dana Pendidikan Besar, Bela Nasib Anak Muda Kuala Rajang


SARIKEI: Bidang pendidikan dalam kalangan generasi muda khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang terus mendapat keutamaan sejajar dengan hasrat melahirkan modal insan berkualiti selain memastikan mereka menikmati kehidupan lebih terjamin pada masa depan.

Ia terbukti melalui sumbangan dana pendidikan sebanyak RM528,900.00 daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.41 Kuala Rajang kepada seramai 1,253 orang pelajar kawasan itu sejak 2011.

Dalam tahun ini sahaja sebanyak RM32,200 disumbangkan kepada seramai 80 pelajar yang cemerlang dan melanjutkan pengajian ke pusat pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).

Sehubungan itu, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, sumbangan dana berkenaan, antara lain bertujuan meringankan beban keluarga penerima.

Ujarnya, pelajar masing-masingnya menerima RM400 bagi yang melanjutkan pengajian peringkat diploma, RM500 (ijazah) dan RM300 (pengajian jangka pendek selama enam bulan atau lebih).

“Sebahagian besar mereka dari keluarga berpendapatan rendah serta sederhana yang memerlukan suntikan kewangan untuk melanjutkan pelajaran.

“Berdasarkan pengalaman sendiri yang pernah bergelar pelajar dan datang dari keluarga miskin, saya sedar mereka berdepan masalah melanjutkan pengajian kerana perlu menanggung kos seperti penerbangan, yuran pendaftaran dan sara hidup.

“Walaupun jumlahnya tidak banyak namun pastinya bantuan ini melegakan pelajar dan ibu bapa mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, inisiatif itu merupakan salah satu komitmennya bagi membantu pelajar cemerlang dan kurang bernasib baik untuk mendaftar di IPT sekaligus membela nasib mereka melalui pendidikan.

Katanya, kriteria pemberian tertakluk kepada penerimaan pelajar IPTA dan IPTS yang diiktiraf oleh kerajaan dan tidak berdasarkan pencapaian jumlah gred di samping berasal dari DUN Kuala Rajang.

“Melalui pendidikan, mereka dapat keluar dari kepompong kemiskinan dan berpeluang menikmati kehidupan lebih baik. Justeru, saya sentiasa memberikan keutamaan terutamanya dari aspek peruntukan dan perbelanjaan.

“Sehubungan itu, saya menasihatkan ibu bapa terus melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin bagi memajukan anak-anak dalam bidang pelajaran. Dana ini membuktikan kerajaan amat mengambilberat masalah rakyat di samping tidak mahu mereka ketinggalan dalam arus pembangunan,” jelasnya.

Untuk rekod jumlah sumbangan adalah sebanyak RM10,600 untuk 25 orang pelajar pada 2011, RM27,300 ( 68 pelajar, 2012), RM47,700 ( 106 pelajar, 2013), RM107, 700 ( 249 pelajar, 2014), RM60,400 ( 138 pelajar, 2015), RM74,900 (190 pelajar, 2016), RM102,600 (241 pelajar, 2017), RM65,500 (156 pelajar, 2018) dan RM32,200 (80 pelajar, 2019).

Sumber dari: Suara Sarawak