NOVEMBER 2023

Inisiatif Kerajaan Tarik Pelaburan Ke Sarawak


KUCHING: Pelbagai inisiatif yang dilaksana kerajaan menjadikan Sarawak berpotensi sebagai kuasa kemampanan industri mengutamakan Alam Sekitar, Sosial dan Tabir Urus Baik (ESG), kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata, inisiatif yang dilaksanakan itu seperti gas hidorgen, bahan bakar penerbangan mampan, memajukan bahan makanan ternakan diperbaharui dan banyak lagi yang boleh menjadikan Sarawak sebagai rantaian nilai global penting.

Kekuatan ekonomi baharu Sarawak bergantung kepada perusahaan kecil dan sederhana (SME) dan keupayaan kumpulan syarikat SME untuk menghadapi cabaran dan meneroki peluang perniagaan baharu, katanya melancarkan Program Pembangunan dan Iklim Kewangan Inklusif di sini.

Beliau menegaskan, Sarawak mengalu-alukan pelaburan dan kolaborasi terutama dalam enam sektor di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 iaitu sektor pengilangan, perladangan komersial, pelancongan, perhutanan, perlombongan dan perkhidmatan untuk faedah bersama.

Sehingga September tahun ini, Kerajaan Sarawak meluluskan pelaburan bernilai RM11.3 bilion dalam sektor pengilangan, katanya.

Kejayaan menarik pelaburan itu, tambahnya, adalah hasil dasar mesra perdagangan yang diamalkan oleh Kerajaan Sarawak yang sentiasa memberi sokongan kepada pelaburan sama ada pelaburan langsung asing (FDI) atau pelaburan langsung domestik (DDI).

Awang Tengah berkata, kerajaan komited memudahkan SME dan membangunkannya menjadi perusahaan yang teguh dan maju.

InvestSarawak, agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, tambahnya, menggalakkan lebih banyak inisiatif kerjasama untuk manfaat SME dan perniagaan tempatan.

Beliau turut menzahirkan rasa gembira kerana InvestSarawak mewujudkan perkongsian dengan United Nation Global Compact Network Malaysia dan Brunei dan Alliance Bank untuk membantu mewujud lebih banyak peluang perniagaan bagi mencapai matlamat itu.

Sarawak akan membangunkan rantaian bekalan yang kukuh bertaraf dunia dan mampan, katanya dan menegaskan, Sarawak turut kekal sebagai destinasi pelaburan popular di Malaysia.

Sumber dari : Jiwa Bakti