OKTOBER 2026

KERAJAAN SARAWAK SALUR SUMBANGAN RM500,000 KEPADA WARIS MANGSA NAHAS HELIKOPTER FDS


KUCHING, 16 Oktober 2026 – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Kerajaan Sarawak kepada waris mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Ulu Baram, yang berlangsung di Dewan Undangan Negeri Sarawak, hari ini.

Menerusi majlis tersebut, setiap keluarga mangsa menerima sumbangan kewangan sebanyak RM100,000, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM500,000. Sumbangan berkenaan bertujuan membantu meringankan beban waris yang kehilangan insan tersayang.

Penerima pertama, Encik Mohd Faiz bin Ab Malek, suami kepada Allahyarhamah Dr Ainul Baraah binti Kamaruddin yang bertugas sebagai Pegawai Perubatan, menerima cek sumbangan berjumlah RM100,000.

Seterusnya, Puan Nor Izzati Syamimi binti Suhaimi, isteri kepada Allahyarham Kapten Zainol Afiq bin Bee Sham, juruterbang Layang Layang Aerospace Sdn. Bhd., turut menerima cek berjumlah RM100,000 serta Surat Penajaan Bantuan Pendidikan Yayasan Sarawak bagi kedua-dua anak yang ditinggalkan.

Puan Stephanie Essah anak Incham, isteri kepada mendiang Alexson Adit anak Henry yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Perubatan, turut menerima sumbangan RM100,000 berserta Surat Penajaan Bantuan Pendidikan Yayasan Sarawak untuk anak-anak mereka. Mendiang meninggalkan dua orang anak yang masing-masing berusia dua dan lima tahun. Selain itu, Puan Stephanie turut menerima Surat Tawaran Pekerjaan di Curtin University.

Dua lagi penerima ialah Encik John Then Hua Ken, suami kepada mendiang Debra anak Moset, serta Encik Larry Bilong Kule, suami kepada mendiang Jessie Paya Jok. Kedua-dua mendiang bertugas sebagai jururawat dan masing-masing meninggalkan dua orang anak. Setiap waris menerima cek sumbangan RM100,000 serta Surat Penajaan Bantuan Pendidikan Yayasan Sarawak bagi anak-anak yang ditinggalkan.

Penajaan pendidikan tersebut meliputi pembiayaan dari Tahun Satu sekolah rendah hingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD), sebagai usaha memastikan kesinambungan pendidikan anak-anak mangsa terus terjamin.

Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap kebajikan keluarga mangsa, bukan sahaja melalui bantuan kewangan, malah menerusi sokongan pendidikan dan peluang pekerjaan bagi membantu waris meneruskan kehidupan.

Sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan pengorbanan mereka, kelima-lima mangsa turut disenaraikan sebagai penerima Pingat Pegawai Bintang Sarawak (P.B.S.) secara anumerta sempena Sambutan Hari Lahir Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada 10 Oktober 2026.