KUCHING: Bermula 1 Januari 2020, Kerajaan Sarawak akan memberikan subsidi bagi air dan elektrik dalam usaha untuk menyediakan kemudahan asas yang sempurna kepada rakyat.
Kementerian Utiliti Sarawak dalam satu kenyataan media hari ini memberitahu, setiap isi rumah di negeri ini akan menikmati air percuma untuk RM5 pertama dalam bil bulanan.
Kata kenyataan sama, program air percuma ini adalah untuk membantu meringankan beban rakyat terutamanya kumpulan B40 dan dianggarkan lebih daripada 600,000 isi rumah di seluruh Sarawak akan mendapat faedah dari program air percuma ini.
Tambah kenyataan sama, Kerajaan Sarawak juga memberi subsidi bagi caj sambungan elektrik sebanyak 70 peratus daripada kos yang berjumlah RM5,000 hingga RM10,000 bagi penyambungan baharu.
Berdasarkan rekod, dianggarkan lebih 2,200 isi rumah yang berpendapatan rendah dalam kawasan bandar serta luar bandar akan menikmati inisiatif 2020 dari kerajaan negeri ini.
Kenyataan sama turut memberitahu, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan dana sebanyak RM8 juta pada 2020 dalam usaha meringankan beban rakyat yang terdiri daripada kumpulan pendapatan rendah.
Jelas kenyataan itu, bantuan kewangan ini juga lestari dengan inisiatif kerajaan negeri yang ingin menyediakan bekalan elektrik di kawasan luar bandar melalui pelbagai skim di bawah projek rakyat. -Edisi UKAS
Sumber dari : Unit Komunikasi Awam Sarawak