KUCHING : Jumaat, (22 Nov 2024): Sarawak, melalui syarikat-syarikat berkaitan kerajaannya (GLCs) akan melabur sehingga RM100 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang untuk membangunan infrastruktur dan aset-aset strategik.
Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Abang Johari Bin Tun Openg menyatakan demikian ketika berucap pada majlis pelancaran laporan mengenai kejayaan pelaksanaan PCDS 2030 setakat 2023 bertempat di Dewan Mesyuarat Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya pada Jumaat.
Aset-aset tersebut yang dijangka akan memacu pertumbuhan ekonomi Sarawak termasuk membina sebuah lapangan antarabangsa baru di sini yang boleh menampung keperluan sehingga 15 juta penumpang, jelas beliau.
Lapangan terbang ini nanti akan bermodelkan lapangan terbang Doha di Qatar yang di mana perkhidmatannya adalah “seamless”, ujar beliau lagi.
Tanpa menyatakan anggaran kos lapangan terbang tersebut, beliau berkata ia akan dibina dengan dana Sarawak sendiri.
“Kita tidak akan bergantung kepada Putrajaya,” jelas beliau dan menyifatkan harapan untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada kerajaan pusat seperti “menunggu sungai tak berhulu”.
Datuk Patinggi Abang Haji Johari menjelaskan potensi lapangan terbang tersebut akan dikukuhkan dengan pengambilalihan MASWING sebagai syarikat penerbangan kepunyaan Kerajaan Sarawak.
Sambil menyatakan keyakinan beliau dengan gandingan kedua-dua aset tersebut, beliau telah mengambil iktibar daripada kemajuan syarikat penerbangan Qatar yang bermula hanya dengan dua buah kapalterbang.
Premier Sarawak menyatakan aset strategik kedua yang juga akan menjadi pemacu ekonomi Sarawak ialah pembinaan sebuah pelabuhan laut dalam baharu di sini.
Beliau menyifatkan Pelabuhan Senari di Sejingkat sebagai tidak ada daya pemacu kerana laluan masuk Sungai Sarawak yang tohor dan perlu dikorek dengan kos sehingga mencecah RM500 juta.
Seperti pelabuhan-pelabuhan lain di dunia yang mengalami situasi yang sama, pelabuhan ini nanti akan dibina jauh ke laut di atas permukaan laut yang telah ditambak seperti di Pelabuhan Rotterdam dan Antwerp.
Kajian sedang dijalankan khususnya mengenai kesan hidrologi air di Muara Tebas dan muara Batang Samarahan di mana discaj dimuntahkan dan menjadi tambakan semulajadi, kata beliau.
Kawasan tambakan semulajadi ini yang menghadap ke laut akan menjadi kawasan premium untuk pembangunan hartanah yang akan memberi pulangan hasil yang besar untuk membiayai kos pembinaan pelabuhan tersebut, tambah beliau.
Premier Sarawak juga menyatakan pembangunan sistem ART (Automated Rapid Transit) sebagai sistem pengangkutan awam dari Bintulu ke Tanjung Kidurong sebagai antara pemacu ekonomi Sarawak dalam tempoh lima tahun akan datang.
Beliau yakin bahawa pembangunan beberapa infrastruktur dan aset strategik sehingga 2030 akan menjadi daya pengukuhan kepada usaha meningkatkan pendapatan isi rumah di Sarawak.
Turut berucap terdahulu ialah Datuk Amar Abu Bakar bin Marzuki, Setiausaha Kerajaan Sarawak
Turut hadir adalah, YB Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Menteri- Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri, ADUN, Ketua-Ketua Jabatan dan agensi.