KUCHING, 21 April — Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg hari ini menegaskan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperhebat pembangunan infrastruktur bagi menjadikan Kuching sebuah bandar raya moden, mampan dan berdaya saing.
Berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2025 anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) yang berlangsung di Halaman DBKU, beliau menjelaskan bahawa pelbagai projek pembangunan sedang dan akan dilaksanakan di bawah perancangan menyeluruh yang turut melibatkan teknologi pengangkutan terkini serta penstrukturan semula sistem pengurusan bandar.
“Kita menaik taraf infrastruktur seperti yang telah diterangkan oleh Datuk Bandar. Termasuk jalan raya dan sistem pengangkutan awam moden seperti ART. Semua ini memerlukan perancangan rapi dan pelaksanaan menyeluruh,” katanya.
Beliau turut menyebut beberapa projek utama yang sedang dijalankan, antaranya pembangunan underpass di kawasan Darul Hana, pembesaran jalan dari roundabout Yayasan Sarawak ke Damai, dan pembinaan laluan khas ART ke Damai yang kini telah diluluskan dan akan bermula tahun ini.
Selain itu, pembinaan jambatan baharu yang merentasi Sungai Santubong turut diumumkan, bagi menghubungkan kawasan Pantai Damai, Buntal dan Bako, yang dijangka membuka kawasan perumahan baharu dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi tempatan.
“Di kawasan Datuk Hazland Hipni pula, kita sedang membina Jambatan Sejingkat yang akan menghubungkan Kampung Beliong, selain menaik taraf infrastruktur sekitarnya,” tambah beliau.
Dalam konteks pengurusan sisa pepejal pula, beliau memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah memutuskan untuk menggunakan teknologi insinerator moden, sebagai sebahagian daripada pendekatan “waste to energy”. Projek ini bakal merangkumi dua zon utama – Zon Selatan (Kuching hingga Betong) dan Zon Utara (Sibu hingga ke Miri).
“Ini adalah pelaburan besar, tapi ia penting untuk kelestarian bandar raya kita. Datuk Len Talif Salleh akan mengetuai pelaksanaan projek ini,” jelas Abang Johari.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Yang Amat Berbahagia Puan Sri Datuk Amar Hajjah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian serta Dato Enn Ong Siok Ean, Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga Malaysia Dato Sri Nancy Shukri, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar bin Marzuki dan isteri, Datin Amar Hajah Baduyah binti Haji Bujang, Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Kordinator Projek Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Junaidi bersama isteri, Datin Hajah Siti Shorgayah binti Haji Ahmad Zaidin, serta Datuk Bandar DBKU Dato Haji Hilmy bin Haji Othman.