MAC 2020

MA63: Perbincangan Diteruskan – Abang Johari


KUCHING: Perbincangan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dibincang bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dan kabinet beliau sebelum ini akan diteruskan, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Ketika ditemui media selepas merasmikan Seminar Fatwa Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Kompleks Islam, di sini, hari ini, Abang Johari berkata perbincangan itu tetap diteruskan bersama kabinet baharu ini.

“Ya, kita akan teruskan perbincangan (MA63) sebelum ini dan ia harus diselesaikan segera. Jangan lagi dilambat-lambat.

“Saya difahamkan oleh menteri kanan, perkara ini tetap diteruskan,” katanya.

Sementara itu, mengenai pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan, Abang Johari berkata, mereka telah memutuskan untuk tidak menambah frasa ‘mengikut Perjanjian Malaysia 1963’ dalam Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Namun katanya, kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mencadangkan pindaan Perkara 160 (2) mengenai definisi ‘persekutuan’.

Mengubah Perkara 160 (2) sahaja akan memberi kekuatan kepada kandungan Perjanjian MA63, tambah beliau.

Mengenai barisan kabinet baharu, Abang Johari berpuas hati dengan pelantikan pemimpin GPS kerana Sarawak mempunyai empat menteri penuh termasuk menteri kanan dan empat timbalan menteri.

Sumber dari : Jiwa Bakti