JANUARI 2025

Majlis Prapelancaran Jambatan Muara Lassa 9 Jan, Bukti Kesungguhan Kerajaan GPS


DARO: Majlis prapelancaran Jambatan Muara Lassa akan diadakan pada 9 Januari ini, yang dijangka disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad, majlis prapelancaran sepatutnya diadakan pada 31 Disember lalu, namun tertangguh disebabkan penyambungan elektrik belum selesai serta masih perlu dilaksanakan audit keselamatan jalan raya bagi memastikan ia selamat digunakan. 

"Majlis perasmian jambatan tersebut dijadual berlangsung pada 22 Februari depan dan disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg," katanya.

Beliau berkata, jambatan tersebut bukan sahaja menjadi penghubung penting kepada orang ramai, tetapi simbol kesungguhan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memastikan manfaat pembangunan sampai kepada rakyat.

"Pembukaan jambatan ini bakal memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi Daro terutamanya dalam sektor pertanian dan perikanan," katanya.

Jambatan Muara Lassa, sepanjang 2.43 kilometer (km), merupakan jambatan kedua terpanjang yang menyeberangi sungai di Sarawak.

Projek bernilai RM600 juta ini membuktikan komitmen kerajaan Sarawak dalam melaksanakan projek mega untuk kemajuan negeri ini.

GAMBAR: Mohd Faizal Jamiludin