SIBU, 22 Julai 2026 – Sambutan Hari Sarawak 2026 menyaksikan satu lagi detik bersejarah apabila Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg mengumumkan PETROS telah memulakan pengeluaran minyak pertamanya di medan Adong Kechil West (AKW) berhampiran Marudi, sekali gus membuka lembaran baharu dalam penguasaan industri minyak dan gas oleh anak Sarawak sendiri.
Beliau berkata pengeluaran awal sebanyak 800 tong sehari atau kira-kira 24,000 tong sebulan membuktikan PETROS kini berjaya melangkah sebagai pemain industri minyak dan gas yang berkeupayaan meneroka serta mengurus sumber tenaga negeri sendiri.
“Itu hanya pengeluaran daripada satu telaga,” jelas beliau.
Beliau menyifatkan kejayaan Petros setakat ini mencerminkan hasil pelaksanaan dasar jangka panjang Kerajaan Sarawak yang memberi penekanan kepada penguasaan sumber strategik negeri serta pembangunan industri hiliran bernilai tinggi.
Selepas lebih lima dekad sejak pengeluaran minyak daratan terakhir, kejayaan itu dilihat sebagai pemangkin kepada pembangunan rantaian nilai baharu berasaskan ammonia dan hidrogen biru, ujar beliau.
Perkembangan itu turut memperlihatkan perubahan pendekatan Kerajaan Sarawak dalam mengurus sumber asli, daripada hanya mengeksport bahan mentah kepada menghasilkan nilai tambah melalui pembangunan industri hiliran, penyelidikan dan teknologi yang mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat.
Tambahnya lagi, transformasi tersebut selaras dengan pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), yang menjadi asas kepada usaha membina ekonomi berasaskan pengetahuan, inovasi dan industri bernilai tinggi.
Hasil pelaksanaan strategi itu turut menyaksikan Sarawak diiktiraf sebagai wilayah berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia selama empat tahun berturut-turut.
Dalam masa yang sama, YAB Premier turut menekankan bahawa pembangunan sektor minyak dan gas akan diperkukuhkan melalui pelaksanaan Sarawak Gas Roadmap (SGR), yang bakal membangunkan keseluruhan rantaian nilai gas asli termasuk industri petrokimia, metanol, ammonia, hidrogen dan pelbagai industri hiliran bernilai tinggi.
Beliau yakin penguasaan sumber tenaga oleh anak Sarawak serta pembangunan industri bernilai tinggi akan terus mengukuhkan kedudukan negeri sebagai peneraju ekonomi hijau dan hab tenaga bersih serantau, sekali gus meningkatkan sumbangan Sarawak kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.