DISEMBER 2019

PPRMS Tepat Bantu Rakyat Miskin Miliki Rumah Selesa


KOTA SAMARAHAN: Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) yang diperkenalkan kerajaan Sarawak amat bertepatan bagi membantu rakyat yang kurang berkemampuan memiliki kediaman yang sempurna, selesa dan selamat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Idris Buang berkata, geran sebanyak RM1 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri untuk setiap konstituensi untuk membaik pulih kediaman rakyat yang terpilih.

Menurutnya, bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Muara Tuang, geran sebanyak RM500,000 telah diperuntukkan bagi fasa pertama projek bagi PPRMS di kawasan berkenaan.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (MRP-PPRMS) DUN Muara Tuang 2019 di Dewan Suarah Kota Samarahan, pada Isnin.

Dalam pada itu, Idris memberitahu, setiap kediaman yang terpilih untuk dibaik pulih akan menerima peruntukan antara RM5,000 hingga RM15,000.

Katanya, jumlah tersebut merupakan anggaran yang dilakukan oleh Jawatankuasa Teknikal PPRMS.

Sementara itu, Idris berharap, semua Ketua Masyarakat dan Ketua Kampung (KMKK) di DUN Muara Tuang memantau kerja-kerja membaik pulih rumah di tempat masing-masing agar projek itu berjalan lancar dan siap mengikut jadual. -Edisi UKAS

Sumber dari : Unit Komunikasi Awam Sarawak