MARUDI, 25 Julai 2026 — Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg hari ini merasmikan Baram Regatta 2026 sambil menegaskan komitmen kerajaan Sarawak untuk terus membangunkan Baram sebagai hab ekonomi baharu berteraskan pembangunan mampan, infrastruktur moden dan ekonomi rendah karbon.
Beliau berkata Baram Regatta merupakan regatta yang istimewa kerana mempunyai sejarah tersendiri dalam lipatan sejarah Sarawak selain menjadi lambang penyatuan masyarakat pelbagai kaum dan agama melalui warisan budaya yang dikongsi bersama.
Menurutnya, penganjuran regatta di Marudi Waterfront yang baharu turut mencerminkan perubahan serta kemajuan pembangunan yang sedang berlaku di kawasan itu.
“Regatta Baram memperlihatkan bagaimana masyarakat berbilang kaum dan agama dapat bergerak seiring dalam satu haluan walaupun mempunyai latar belakang budaya yang berbeza,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Baram Regatta 2026 di Dataran Marudi Waterfront di sini, hari ini.
Abang Johari berkata perubahan iklim global menuntut Sarawak mengubah pendekatan pembangunan ekonomi kepada ekonomi mampan yang menitikberatkan pemeliharaan alam sekitar melalui penggunaan tenaga boleh diperbaharui, ekonomi rendah karbon serta pembangunan industri hidrogen.
Beliau berkata strategi itu turut disokong oleh penemuan sumber gas di utara Sarawak yang diterajui kepakaran anak tempatan melalui PETROS, sekali gus membuktikan keupayaan rakyat Sarawak memimpin industri minyak dan gas.
Dalam pada itu, beliau berkata pengiktirafan Bank Dunia terhadap Sarawak sebagai ekonomi berpendapatan tinggi serta kedudukannya sebagai antara lima ekonomi terbesar di Malaysia perlu diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan isi rumah rakyat.
Sehubungan itu, katanya kerajaan GPS melaksanakan pendidikan tinggi percuma kepada anak Sarawak bagi melahirkan tenaga mahir dalam bidang semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), teknologi digital, sains iklim serta industri angkasa, termasuk pembangunan nanosatelit pertama Sarawak.
Menyentuh pembangunan Baram, beliau berkata kerajaan telah memperuntukkan kira-kira RM3.2 bilion bagi membina rangkaian jalan raya yang menghubungkan Miri, Marudi, Long Terawan, Long Panai dan Long Lama, sekali gus membuka kawasan itu kepada pembangunan ekonomi baharu.
Menurut beliau, jaringan infrastruktur tersebut bakal merangsang sektor pelancongan, pertanian moden berorientasikan eksport serta pembangunan pelabuhan laut dalam yang mampu menarik kapal persiaran ke utara Sarawak.
Beliau turut menggesa generasi muda melengkapkan diri dengan ilmu serta teknologi terkini khususnya dalam bidang tenaga hidrogen bagi membolehkan mereka merebut peluang ekonomi masa depan.
Pada majlis itu, Abang Johari turut menyaksikan perlumbaan akhir kategori Kayuh Tidak Terhad (Unlimited) bagi merebut Piala YAB Premier Sarawak (Terbuka) sebelum menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
Perahu Lakin Belaga 9 muncul juara, diikuti Singgah Tagal 1 di tempat kedua manakala Taming Sari N.76 menduduki tempat ketiga.
Setelah itu, Premier Sarawak turut merasmikan Masjid As-Salam Marudi yang dinaik taraf bagi menggantikan masjid lama berusia hampir 50 tahun. Masjid baharu itu menjadi mercu tanda keagamaan penting daerah Marudi dan terletak di lokasi strategik berhampiran Kampung Dagang dengan akses melalui Jalan Nakoda Abang Mattassim.
Turut hadir Anakda kepada Premier Sarawak Puan Dayang Norjihan Binti Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Baram Regatta 2026 Datuk Dr Penguang Anak Manggil, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Ahli Parlimen Baram Dato Anyi Ngau, Ahli Dewan Undangan Negeri Telang Usan Dato Dennis Ngau serta Residen Bahagian Miri Galong Anak Luang.