PUTRAJAYA, 13 Oktober 2026 – Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg menghadiri Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Ke-150 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, petang pada Selasa.
Mesyuarat itu memberi tumpuan kepada Belanjawan MADANI 2027, khususnya usaha memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri bagi memastikan pembangunan negara yang mampan, adil dan seimbang.
Perdana Menteri dalam kenyataannya menegaskan bahawa kerangka Waad Nasional yang diperkenalkan ketika pembentangan Belanjawan MADANI 2027 perlu menjadi asas kerjasama erat antara kedua-dua peringkat kerajaan dalam menjayakan agenda pembangunan dan memastikan kesejahteraan rakyat dinikmati secara lebih menyeluruh.
Beliau turut menekankan bahawa Belanjawan 2027 perlu mengambil kira ketidaktentuan ekonomi global, unjuran pertumbuhan ekonomi negara dan turun naik harga minyak dunia, di samping terus membantu rakyat menangani kos sara hidup serta memenuhi keutamaan setiap negeri.
Bagi Sarawak, peruntukan Kerajaan Persekutuan yang meningkat kepada RM16.2 bilion bagi tahun 2027 merupakan perkembangan penting dalam menyokong pelaksanaan agenda pembangunan negeri.
Kerajaan Sarawak merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas peningkatan peruntukan itu yang dapat menyokong pelaksanaan projek pembangunan serta usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Dalam mesyuarat tersebut, Perdana Menteri turut menekankan keperluan menyelaraskan perancangan dan peruntukan berdasarkan keperluan sebenar di lapangan, dengan memberi perhatian kepada mutu penyampaian perkhidmatan awam, pembangunan infrastruktur, pengukuhan ekonomi negeri dan projek yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Aspek keselamatan sempadan, khususnya di Sabah dan Sarawak, turut dikenal pasti sebagai antara keutamaan yang perlu diberi perhatian dalam perancangan Belanjawan 2027.
Mesyuarat itu juga menyentuh kepentingan penggunaan kriptografi pascakuantum bagi memperkukuh perlindungan data dan sistem digital negara dalam menghadapi perkembangan teknologi serta ancaman keselamatan siber pada masa hadapan.
Selain itu, Perdana Menteri memaklumkan bahawa Indonesia telah diminta mengambil tindakan segera dan berkesan bagi menangani pembakaran terbuka yang menyebabkan jerebu rentas sempadan, sekali gus menjejaskan kesihatan rakyat dan mengganggu sesi persekolahan.
Perbincangan tersebut mencerminkan kepentingan penyelarasan berterusan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri dalam menangani isu bersama, menyelaraskan keutamaan pembangunan dan memastikan dasar serta peruntukan kerajaan memenuhi keperluan rakyat.