OGOS 2026

PREMIER SARAWAK IRINGI PERDANA MENTERI KE BRUNEI SEMPENA ALC-27


BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Ogos 2026 – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg berada di Brunei Darussalam bagi mengiringi Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dalam rangka lawatan rasmi sehari.

Lawatan tersebut adalah sempena Perundingan Pemimpin Tahunan Ke-27 (ALC-27) yang berlangsung di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan, pagi ini.

Sejurus tiba, Premier Sarawak turut menyaksikan Istiadat Pengurniaan Darjah Kerabat Laila Utama Yang Amat Dihormati (D.K.) kepada Perdana Menteri Malaysia oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Hassanal Bolkiah.

Pengurniaan tersebut membawa gelaran Dato’ Laila Utama dan berlangsung di Cheradi Laila Kenchana, Istana Nurul Iman, dengan turut disaksikan oleh Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah.

Turut hadir pada istiadat tersebut ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Seterusnya, Premier Sarawak turut menyaksikan Majlis Menyaksikan Penandatanganan dan Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung di Baitul Mesyuarah, Istana Nurul Iman.

Majlis tersebut menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan dan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Brunei Darussalam melalui pemeteraian beberapa memorandum persefahaman serta instrumen dua hala dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama.

ALC-27 kemudiannya diteruskan dengan majlis jamuan rasmi yang dihoskan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei.

Majlis tersebut turut menjadi kesempatan bagi para pemimpin dan delegasi kedua-dua negara untuk mengeratkan hubungan, bertukar pandangan serta memperkukuh jalinan persahabatan dalam suasana penuh mesra.