OGOS 2026

PREMIER SARAWAK IRINGI SULTAN PAHANG RASMI MASJID AL-SULTAN ABDULLAH DI KAMPUNG TELOK MELANO


LUNDU, 21 Ogos 2026 – Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg mengiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, pada Majlis Perasmian Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Kampung Telok Melano, di sini pada Jumaat. 

Masjid berkenaan yang dibangunkan dengan kos kira-kira RM8.8 juta mampu menampung sehingga 500 jemaah dan terletak berhampiran Kilometer 0 Lebuh Raya Pan Borneo di Telok Melano.

Pembinaan masjid itu mempunyai nilai sejarah tersendiri apabila Sultan Pahang, ketika berada di atas takhta Yang di-Pertuan Agong ke-16, berkenan menyempurnakan upacara pecah tanah pembinaannya pada 13 September 2023 sempena Kembara Kenali Borneo.

Dalam titahnya, Al-Sultan Abdullah merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak atas pembangunan masjid berkenaan serta usaha memastikan ia dapat dimanfaatkan masyarakat setempat.

Baginda bertitah, tayangan video montaj mengenai Kembara Kenali Borneo tiga tahun lalu turut mengimbau kembali kenangan manis sepanjang perjalanan berkenaan yang tidak akan dilupakan.

"Apabila saya kembali semula ke Sarawak, terutamanya Telok Melano, ia menggamit nostalgia apabila saya memandu sendiri dari pusat bandar Kuching ke Telok Melano," titah baginda.

Masjid berkenaan mengambil inspirasi seni bina tradisional Alam Melayu dan Nusantara, selaras dengan latar sejarah serta budaya Telok Melano yang mempunyai hubungan dengan masyarakat Kepulauan Melayu.

Perasmian masjid itu melengkapkan satu lagi kenangan bersejarah antara Sultan Pahang dengan masyarakat Telok Melano, selain menjadi kemudahan ibadah dan tempat persinggahan para musafir serta pengunjung ke kawasan berkenaan.