FEBRUARI 2021

Pakej BKSS, Peniaga Kecil Disaran Mohon Bantuan - Awang Tengah


LAWAS: Lima pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) berjumlah RM3.14 bilion diumumkan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat, di negeri ini. 

Penerima bantuan itu termasuk golongan peniaga terkesan berikutan penularan pandemik Covid-19 melanda pada masa ini. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerajaan meluluskan RM141. 7 juta menerusi BKSS 5.0 baru-baru ini, membantu rakyat khasnya peniaga terkesan akibat pandemik ini. 

"Sehubungan itu perniagaan kecil dan sederhana terjejas Covid-19 disarankan memohon bantuan tersebut, supaya dapat membantu mereka menghadapi situasi getir ini," katanya. 

Beliau berkata demikian semasa majlis ringkas menyampaikan sumbangan sempena Tahun Baharu Cina di Lawas, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Henry Sum Agong dan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Danau Paulus Palu Ngumbang.

Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.82 Bukit Sari turut mengingatkan penduduk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan ketika Tahun Baharu Cina, tahun ini. 

"Kita perlu sedar dan faham Covid-19 ini masih ada di sekeliling kita. Justeru, kita perlu mematuhi SOP untuk mengelak perkara tidak diingini berlaku," katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti