MIRI: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang ditunjangi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menjadi kepada kekuatan Kerajaan Persekutuan.
Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini kerana GPS memberikan sumbangan kepada kestabilan politik negara.
"Kita (GPS) membantu kepada kestabilan politik negara.
"Kita ada beberapa orang menteri, kita ada Dato’ Sri Fadillah Yusof jadi Timbalan Perdana Menteri, kita ada Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi (Menteri Kerja Raya), Dato’ Sri Nancy Shukri (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan timbalan-timbalan menteri yang lain daripada Parti PBB," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan Mesyuarat Perwakilan Cawangan-Cawangan Zon Utara Parti PBB di sini, hari ini.
Yang di-Pertua Parti merangkap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan mesyuarat tersebut.
Turut hadir Timbalan Yang di-Pertua Parti, Datuk Amar Douglas Uggah, Naib-Naib Yang di-Pertua Kanan, Dato’ Sri Fadillah Yusof dan Dato’ Sri Dr Stephen Rundi, Setiausaha Agung, Dato Sri Alexander Nanta Linggi serta ahli Majlis Tertinggi (MT) parti.
Seramai 1,386 perwakilan dari 18 Cawangan Zon Utara hadir.
Awang Tengah berkata, Premier Sarawak mempunyai semangat perjuangan dan keyakinan yang tinggi untuk memajukan parti dan negeri ini.
"Premier kita, pemimpin parti kita, pemimpin GPS, pemimpin kerajaan telah pun meluluskan bajet RM15.8 bilion. Ini adalah bajet terbesar dan yang paling komprehensif," katanya.
Katanya, Parti PBB merupakan tunjang Kerajaan GPS dan kerajaan yang mempunyai sumbangan signifikan terhadap kestabilan.