Julai 2019

Pencerobohan Perairan Sarawak Serius


KUCHING: Ahli Parlimen Bintulu Datuk Sri Tiong King Sing menembak Laksamana Pertama Maritim Sarawak, Robert Teh Geok Chuan kerana menyembunyikan keseriusan pencerobohan kapal nelayan asing ke perairan Sarawak.

Beliau berkata, Teh tidak layak menjadi pengarah dan harus meletak jawatan jika gagal menangani dengan serius bahaya yang ditimbulkan oleh nelayan asing kepada nelayan tempatan dan sumber laut Sarawak.

“Kapal nelayan asing masuk ke perairan Sarawak dan mengancam keselamatan nelayan kita. Ini adalah fakta.

“Tetapi agensi paling bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan perairan berdaulat ini, yang diketuai Teh menafikan kebenaran isu ini.

“Mengapa aduan terhadap kapal asing dibuat jika tidak ada sebab untuk dibimbangkan. Sebaliknya pencerobohan perairan kita terus berlarutan tanpa tindakan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Tiong juga presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) turut mendesak Teh supaya mengambil perhatian terhadap aduan yang dibuat pegawainya sendiri, Jabatan Perikanan, unit marin Polis Diraja Malaysia (PDRM), Persatuan Nelayan Miri dan Persatuan Nelayan Sarawak (Penesa) berhubung pencerobohan kapal nelayan asing di perairan Sarawak.

“Aduan ini bukanlah imaginasi sesiapa pun. Saya secara peribadi meminta nombor telefon nelayan yang menghadiri dialog di Miri.

“Malah pegawai penguatkuasa semasa sesi itu mengakui kekurangan sumber, terutama dari segi pengurangan peruntukan,” katanya.

Jelasnya, pada masa sama pegawai juga mengadu bot nelayan Vietnam yang menimbulkan ancaman kepada kapal penguat kuasa menyebabkan mereka terpaksa melarikan diri kerana bahaya besar.

“Semua orang mempunyai sebab untuk membuat aduan tetapi setakat ini, pengarah nampaknya tidak menyedarinya,” katanya.

Beliau menambah, Teh juga menyedari sesi dialog berkenaan yang diadakan baru-baru ini tetapi memilih untuk memandang rendah skala masalah yang dihadapi oleh nelayan tempatan.

Sebaliknya Tiong berkata, Teh semasa sidang akhbar baru-baru ini hanya menyentuh mengenai tangkapan empat kapal nelayan asing tanpa menjelaskan masalah pencerobohan berterusan, ancaman terhadap nelayan tempatan dan sumber laut.

Sumber dari: Suara Sarawak