DISEMBER 2024

Penilaian Audit Aset Pihak Ketiga Perlu Untuk Proses Ambil Alih MASwings


KUCHING: Penilaian audit aset daripada pihak ketiga kini diperlukan sebelum pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings dilaksanakan.

Ia di antara Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, perbezaan nilai harga MASwings daripada kedua-kedua pihak menyebabkan perlunya pengauditan daripada pihak ketiga bagi menilai semula aset penuh MASwings.

"Jadi, kita terpaksa minta pihak ketiga untuk menilai aset MASwings, lepas itu proses pengambilalihan MASwings dapat dilakukan sepenuhnya.

"Secara prinsipnya kita bersetuju dengan perkara ini dan pengambilalihan boleh ditandatangani bulan ini.

"Namun terdapat perbezaan dari segi nilai aset MASwings daripada kedua-dua pihak menyebabkan tiada persetujuan, maka ia perlu diselesaikan," ujarnya. 

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pecah Tanah Che Kia Moral Ulifting Society Sarawak (CHKMUS) di Jalan Laksamana Cheng Ho di sini, hari ini.

Tambah beliau, MAVCOM dan MOTS bersama pihak ketiga kini masih dalam proses perundingan dengan pengambilalihan MASwings dijangka hanya dapat dilaksana pada awal suku tahun 2025.

Menyentuh perkara lain, Abang Johari berkata kajian terperinci perlu dilaksanakan dengan teliti terhadap industri perlombongan bagi memastikan ia tidak membahayakan alam sekitar.

Hal ini jelas beliau terutamanya yang melibatkan perlombongan mineral seperti unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE).

"Saya melihat perlombongan ini mesti dibuat kajian kerana ia dapat menjejaskan alam sekitar.

Kenapa kita perlu pergi industri perlombongan memandangkan kita ada industri seperti ekonomi hijau.

"Melainkan terdesak tetapi Sarawak tidak. Kita mempunyai penjanaan pendapatan yang lain maka perlombongan ini kita biarkan dan simpankan sahaja," katanya.

Berdasarkan laporan Jabatan Mineral dan Geosains, Sarawak dikenal pasti memiliki pelbagai bahan mineral berharga yang dianggarkan bernilai RM1.25 trilion.

Bahan mineral berharga itu termasuk emas, unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE), pasir silika berkualiti tinggi dan bauksit. 

Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah; Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi; Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan.