MEI 2021

Perutusan Gawai Dayak 2021


PERUTUSAN GAWAI DAYAK 2021

YANG AMAT BERHORMAT

DATUK PATINGGI (DR) ABANG HAJI ABDUL RAHMAN ZOHARI

BIN TUN DATUK ABANG HAJI OPENG

KETUA MENTERI SARAWAK

Salam sejahtera dan Salam Sarawakku Sayang,

1. Sempena dengan Perayaan Gawai Dayak tahun ini, bagi pihak saya sendiri, isteri dan keluarga, saya mengucapkan salam sejahtera dan selamat menyambut Hari Gawai 2021 kepada semua Anak Sarawak keturunan Dayak di mana sahaja saudara dan saudari berada.

2. Seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri, ini merupakan kali kedua Gawai Dayak terpaksa diraikan dalam keadaan yang amat terhad disebabkan pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara dan seluruh dunia. Amat menyedihkan kerana ramai yang tidak dapat merayakan Gawai bersama keluarga dan sahabat handai di kampung atau rumah panjang.

3. Saya amat faham bahawa inilah masanya bagi saudari dan saudari yang berada di tempat lain kerana mencari rezeki seperti di bandar-bandar, di Semenanjung Malaysia atau di luar negara untuk kembali ke tempat asal masing-masing untuk merayakan Hari Gawai bersama sanak saudara. Saya mohon ampun dan maaf kepada saudara dan saudari yang tidak dapat kembali ke kampung halaman atau rumah panjang masing-masing atau PULAI KE MENUA kerana larangan rentas negeri atau rentas zon yang dikenakan demi keselamatan kita semua daripada bahaya COVID-19.

4. Saya percaya tidak menjadi masalah untuk kita STAY HOME jika tidak ada urusan yang penting di luar rumah, namun yang sering menyebabkan kluster jangkitan ialah penganjuran majlis sosial bagi pelbagai tujuan di tempat atau kediaman masing-masing. Baru-baru ini sebuah majlis untuk menyambut Hari Ibu, walaupun dalam kalangan ahli keluarga terdekat, telahpun telah menyebabkan terjadinya sebuah kluster jangkitan.

5. Oleh itu, saudari dan saudari sekalian, dalam merayakan Hari Gawai berhati-hatilah dan janganlah lupa untuk patuh kepada SOP walaupun dalam kalangan ahli keluarga terdekat – jaga jarak, kerap cuci atau sanitasi tangan, pakai pelitup muka, jangan berkongsi cawan, pinggan dan mangkuk, jangan berjabat tangan, berpeluk dan sebagainya.

6. Sebagai langkah tambahan untuk menangani COVID-19 sempena Gawai saya telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk tidak mengeluarkan lesen laga ayam atau sabong ayam untuk mengurangkan ruang bagi jangkitan terus menular pada musim perayaan ini.

7. Langkah seperti ini mungkin tidak popular tetapi hendaklah dikenakan supaya rakyat kita lebih selamat. Sebelum ini arahan saya supaya ziarah Hari Raya untuk satu hari sahaja juga keputusan yang tidak popular dalam kalangan masyarakat Islam, namun perlu dilaksanakan supaya keadaan dapat dikawal.

8. Saya juga ingin mengingatkan bahawa pada masa ini yang lebih menyukarkan untuk memutuskan rantaian jangkitan ialah terdapat banyak kes melibatkan orang yang tidak bergejala. Kes-kes tidak bergejala telah menyebakan kes-kes jangkitan sporadic kerana tanpa disedari pembawa virus berada di khalayak ramai seperti di pusat-pusat membeli-belah sebagai orang yang sihat tubuh badan. Ingat! Semua kita berkemungkinan adalah pembawa virus. All of us are potential carriers. Oleh itu, sentiasa jaga diri dan jaga orang lain di sekeliling kita.

Saudara dan saudari sekalian yang saya hormati,

9. Sebagai Ketua Pentadbiran Negeri, saya ingin memberi jaminan bahawa Kerajaan GPS akan melakukan yang terdaya bagi menangani pandemik COVID-19 di Sarawak. Setakat Mei ini, Kerajaan Sarawak telah membelanjakan sejumlah RM242 juta untuk menguruskan COVID-19. Perbelanjaan ini termasuk kos kuarantin, bekalan makanan, logistik, peralatan dan sebagainya. Ini tidak termasuk bantuan khas BKSS 1 hingga 5 sebanyak RM 3 bilion untuk meringankan beban rakyat akibat pandemik ini.

10. Kerajaan GPS juga berusaha sedaya upaya untuk mempastikan program imunisasi di Sarawak dapat berjalan lancar dan dijangkakan akan siap pada bulan Ogos bagi 2.08 juta rakyat yang layak menerima vaksin. Kerajaan Persekutuan telah memberi kelulusan kepada Kerajaan Sarawak untuk membuat perolehan vaksinnya sendiri di samping kelulusan untuk mewartakan hospital swasta sebagai pusat pemberian vaksin.

Saudara dan saudari yang dihormati,

11. Kerajaan GPS telah melakukan yang terbaik untuk rakyatnya ketika negeri dan negara dilanda pandemik COVID-19. Berani saya menyatakan bahawa tiada negeri yang memperuntukan bantuan khas sebanyak yang telah diperuntukkan di bawah BKSS 1 hingga 5 berjumlah RM2.6 bilion, tiada negeri yang menanggung kos kuarantin untuk rakyatnya dan tiada negeri yang membuat perolehan vaksinnya sendiri – hanya Sarawak.

Saudara dan saudari yang saya hormati,

12. Dalam pada merayakan Hari Gawai marilah kita merenung sejenak bahawa bukanlah mudah untuk membina perpaduan dalam kalangan rakyat kita yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama tetapi kita telah membuktikan kita mampu melakukannya. Perpaduan dan keharmonian kaum dalam masyarakat majmuk tidak datang bergolek. We have to work together towards unity. Budaya hormat-menghormati adalah tonggak perpaduan kita di Sarawak.

13. Dalam era Internet pada masa kini begitu mudah untuk menyalakan api perpecahan antara kaum dengan hantaran-hantaran di media sosial yang tidak berasas. Saya menyeru kepada pengguna media sosial agar menggunakan platform media sosial untuk tujuan positif ke arah pembangunan Negeri Sarawak dan pengukuhan perpaduan rakyatnya.

14. Sebagai pemimpin Kerajaan GPS yang inklusif dengan ikhlas saya menyeru kepada masyarakat Dayak sempena sambutan Gawai Dayak  supaya berusaha ke arah perpaduan kaum Dayak seiring dengan masyarakat lain dalam mengejarkan impian untuk menjadi sebuah masyarakat yang maju dan progresif.  Pemimpin-pemimpin Dayak terdahulu seperti mendiang Datuk Tra Zenhder telah berjuang untuk menjadikan Gawai Dayak sebagai platform penyatuan dan identiti kaum Dayak. Oleh itu, saya amat berharap masyarakat Dayak akan terus merapatkan barisan, terutamanya dalam kalangan golongan muda dan berusaha bersama ke arah perpaduan kaum Dayak selari dengan impian pemimpin-pemimpin terdahulu.

15. Bala menyadi, aku gaga amat ati enti bansa Dayak ulih begempong serta ulih sama-sama ngaduka pemansang nitihka pemansang dunya ti begunaka teknologi digital.  Aku amat arapka kitak menyadi ulih beserakup serta anang pechah tang terus ngaduka diri segulai sejalai enggau bansa bukai nuju pemansang.

Saudara dan saudari sekalian yang dihormati,

16. Akhir kata kepada rakan-rakan kita daripada keturunan Dayak, saya amat berharap saudara dan saudari bergembira menyambut Gawai walaupun dalam keadaan yang terhad.

17. Saya ingin mengulangi peringatan kepada saudara dan saudari yang merayakan Gawai supaya berhati-hati dan patuhlah kepada SOP supaya penularan COVID-19 dapat dikekang.  

18. Sekali lagi saya mengucapkan Selamat Gawai Dayak, Gayu Guru, Gerai Nyamai, Lantang Senang Nguan Menua.

Sekian. Terima kasih.

Sumber dari : Sarawakku