PERUTUSAN TAHUN BAHARU 2025
YAB PREMIER SARAWAK
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, dan selamat tahun baru 2025 kepada seluruh rakyat Sarawak yang dikasihi.
Tahun baru ini merupakan satu peluang untuk kita melangkah dengan semangat baru, azam yang lebih kukuh, dan cita-cita yang lebih besar demi kemajuan negeri Sarawak. Kita berbangga dengan pencapaian yang telah kita capai bersama sepanjang tahun lalu, hasil kerjasama, perpaduan, dan usaha gigih seluruh lapisan masyarakat.
Pada tahun 2025, marilah kita terus bertekad untuk memajukan Sarawak ke arah negeri yang makmur, sejahtera, dan inklusif. Dengan pelbagai inisiatif pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan, saya yakin negeri ini mampu membangun melalui dasar yang mampan dan lestari.
Tahun 2025 adalah tahun terakhir Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dilaksanakan. Di bawah rancangan tersebut, Sarawak telah melaksanakan dengan jayanya projek-projek infrastruktur seperti jalan raya, jambatan, bekalan letrik, bekalan air dan projek sosio-ekonomi seperti pembangunan industri kecil dan sederhana (SME) dan program jaringan keselamatan sosial.
Saya amat berharap usaha untuk melaksanakan RMK12 di Sarawak dipertingkatkan pada tahun hadapan agar kesemua projek yang telah disenaraikan dapat dilaksanakan dengan jayanya untuk manfaat rakyat, khususnya projek-projek fizikal.
Pada 2025, Kajian Separuh Penggal juga akan dilaksanakan terhadap Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030 (PCDS 2030) untuk menilai kejayaan pelaksanaan program-program dan projek-projek di bawah PCDS 2030. Saya yakin semua projek infrastruktur, projek-projek bekalan air, program untuk menaiktaraf ketersambungan Internet dan program-program kesejahteraan sosial yang dibiayai oleh Kerajaan Sarawak sendiri akan diteruskan dengan jayanya menjelang 2030.
Projek-projek berimpak tinggi juga sedang dirancang termasuk Pelabuhan Laut Dalam dan Lapangan Terbang Antarabangsa baharu di Kuching.
Selain daripada itu, sektor pertanian moden juga akan dipacu dengan penggunaan teknologi. Tahun 2025 juga tahun persediaan bagi Kerajaan memberi pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi yang akan dilaksanakan pada tahun 2026.
Marilah kita bersama-sama berganding bahu untuk memastikan setiap rakyat Sarawak menikmati manfaat pembangunan tanpa mengira latar belakang, agama, atau bangsa. Semangat perpaduan yang kita pupuk selama ini menjadi tunjang kekuatan kita untuk menghadapi cabaran dan menggapai kejayaan.
Akhir kata, saya mengucapkan Selamat Tahun Baru 2025 kepada semua. Semoga tahun 2025 membawa kebahagiaan, keberkatan, dan kejayaan kepada kita semua.
Sekian, terima kasih.