OKTOBER 2018

Pesta Debak sasar 30,000 pengunjung, 2 hingga 11 Nov


DEBAK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohammad Razi Sitam menyasarkan 30,000 pengunjung dalam dan luar bakal membanjiri Pekan Debak sempena penganjuran Debak Fest 2018 bertemakan ‘Rami Meno Kito’ yang berlangsung di Riveria Sport Centre (RSC) dari 2 hingga 11 November depan.

Katanya, dengan pelbagai program dan aktiviti menarik yang disusun atur sepanjang 10 hari itu kelak bermula Jumaat ini, sasaran itu diyakini mampu dicapai berdasarkan beberapa siri Debak Fest terdahulu.

Menurutnya lagi, dijangka mencuri tumpuan ialah pentas hiburan yang menampilkan artis terkenal tanah air dan tempatan seperti Bandi Amuk, Shidi Data, Zaleha Hamid, Tegar (Indonesia), Harry Khalifah, Fiza, Connie Francis, Lucy M, Linda dan Ricky El.

Selain itu, program-program lain yang tidak kurang hebatnya seperti Saribas MTB XC Challenge Edisi Kelima, kejohanan liga sepak takraw terbuka Saribas, jualan hasil perdagangan/pertanian, pameran dan demonstrasi Polis Diraja Malaysia (PDRM), karaoke suara emas Saribas, Debak Idol, pekit lagu Iban Saribas, pertandingan bertandak dan bermukun, pertandingan tarik tali Piala Ketua Menteri, Debak Kitchen, pertandingan memancing dan memanah serta banyak lagi.

“Debak Fest sebagai acara tahunan terbesar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas berkonsepkan showcase keusahawanan dan kebudayaan.

“Ia bertujuan meningkatkan penglibatkan dalam bidang keusahawanan khususnya oleh belia serta mempromosikan produk tempatan. Sementara aktiviti kebudayaan pula mempersembahkan bakat seni anak Sarawak.

“Saya berharap agar penganjuran festival ini akan membuka peluang ekonomi kepada penduduk dan penjaja tempatan untuk sama-sama bersaing dengan usahawan luar,” katanya kepada pemberita dekat sini, hari ini.

Razi menjemput dan mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk memeriahkan Pekan Debak sepanjang Debak Fest berlangsung.

Majlis perasmian Debak Fest dijangka akan diadakan pada 4 November sementara penangguhannya pada 11 November.

Orang ramai yang ingin mendapatkan info lanjut dan mengajukan sebarang pertanyaan boleh menghubungi Roslan (011-15891888), Busari (010-5365332) atau Rozie (011-36255611).