OKTOBER 2024

Premier Rasmi Kongres Air Dan Pameran Dunia 2028


KUCHING, 23 Okt: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg merasmikan Kongres Air dan Pameran Dunia Persatuan Air Antarabangsa (IWA) 2028 bertempat di BCCK hari ini. 

Kongres tersebut mengumpulkan pengamal dan pakar global dari industri air, sekali gus menyediakan platform untuk meneroka trend dan teknologi terkini  membuktikan komitmen negeri ini dalam pengurusan air diiktiraf dunia.

Ketika berucap di majlis tersebut,  Abang Johari berkata kongres itu memainkan peranan penting bagi wilayah ini dalam mendorong pertukaran pengetahuan dan idea, di samping menjalin kolaborasi dalam kalangan profesional air antarabangsa.

BIWWEC 2024 yang membuka tirai secara rasmi hari ini mengumpulkan pemimpin global, pakar industri, dan inovator untuk membincangkan cabaran kritikal dalam pengurusan air dan air sisa.

Berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober ini, BIWWEC 2024 menjadi platform utama untuk memajukan penyelesaian air lestari di Asia Tenggara, dengan lebih 1,000 peserta berdaftar.

Bertemakan ‘Penyelesaian Lestari untuk Keselamatan Air,’ BIWWEC 2024 mempromosikan strategi inovatif dan teknologi terkini untuk menangani isu mendesak seperti kekurangan air, perubahan iklim, dan infrastruktur yang uzur.

Persidangan yang diadakan merangkumi ucapan utama, pembentangan teknikal, perbincangan panel, dan pameran yang luas mengenai kemajuan terbaru dalam rawatan air dan air sisa.

Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi; Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr. Hazland Abg Hipni; dan Pengerusi BIWWEC 2024, Ir. Rodziah Mohamad.