DISEMBER 2024

Premier Sarawak Rasmikan Projek Baharu Yayasan Buah Pinggang CHKMUS


KUCHING, 30 Dis– Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, hari ini menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Che Hia Khor Moral Uplifting Society (CHKMUS) Kidney Foundation Sarawak di Lorong Laksamana Cheng Ho, Kuching.

Dalam ucapannya, Abang Johari memuji CHKMUS atas sumbangan berterusan mereka selama 27 tahun sejak 1988 dalam menyediakan rawatan dialisis berkualiti kepada rakyat Sarawak. Beliau juga mengakui pentingnya usaha kolektif antara kerajaan, NGO, dan sektor swasta dalam memperluaskan akses rawatan perubatan, khususnya bagi pesakit buah pinggang.

Premier turut menyatakan bahawa kerajaan Sarawak telah menyediakan 32 mesin dialisis kepada pusat-pusat terpilih yang disyorkan hospital kerajaan. Langkah ini bertujuan untuk menangani peningkatan bilangan pesakit buah pinggang di negeri ini. Namun, beliau menekankan bahawa menambah mesin sahaja tidak mencukupi jika rakyat tidak menjaga kesihatan mereka.

Abang Johari menyeru rakyat untuk mengamalkan gaya hidup sihat, termasuk bersenam dan mengawal pemakanan. Beliau mengingatkan bahawa penyakit seperti diabetes sering menjadi punca utama kerosakan buah pinggang, yang berpunca daripada pengambilan gula berlebihan tanpa aktiviti fizikal yang mencukupi.

Beliau juga menzahirkan kebimbangan terhadap kos rawatan pesakit buah pinggang yang memerlukan dialisis tiga kali seminggu, yang boleh membebankan pesakit. Oleh itu, pendidikan kesihatan harus diperluaskan untuk membantu mencegah penyakit ini daripada terus meningkat.

Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh tentang cabaran populasi tua di Sarawak, yang memerlukan perancangan jangka panjang untuk menyediakan kemudahan kesihatan yang lebih baik. Beliau turut memuji kemajuan teknologi perubatan seperti alat pacu jantung dan bio-perubatan yang berpotensi membantu meningkatkan taraf kesihatan rakyat.

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Kerja Raya Persekutuan Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri KPWK Dato Sri Fatimah Abdullah, Datuk Bandar MBKS Dato Wee Hong Seng, Pengasas CHKMUS Datuk Tay Chin Kin, serta Pengerusi Penganjur Cr Eric Tay.