BINTULU, 23 Nov– Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, mengumumkan kelulusan projek pembinaan jalan berkembar dari Jambatan Jepak ke Lapangan Terbang Bintulu dalam mesyuarat kabinet yang diadakan Khamis lalu.
Menurut beliau, projek ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk memperkukuh infrastruktur dan mempertingkatkan kesalinghubungan di Bintulu.
“Baru beberapa hari lepas, saya telah meluluskan projek jalan berkembar dua lorong dari Jambatan Jepak sehingga ke Lapangan Terbang Bintulu. Jepak kini bukan lagi sekadar kampung. Kita sedang membangunkan kawasan perumahan di Jepak dalam fasa pertama, dan kita juga ada perancangan untuk fasa kedua dan ketiga,” katanya semasa berucap di Majlis Tautan Kasih Gedong Permulaan Kami (GPK) di Promenade Hotel Bintulu.
Beliau turut menegaskan bahawa dasar pembangunan Sarawak, termasuk Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, menarik perhatian pakar antarabangsa.
“Semalam, pakar saintis dari Itali membuat kajian terhadap PCDS 2030 kita, bagaimana dasar ini boleh dilakukan. Mereka ingin belajar daripada kita kerana melihat kemajuan kita dalam tempoh lima tahun, termasuk pembangunan jalan dan kesalinghubungan seperti jambatan yang telah kita bina. Siapa sangka, Bintulu kini mempunyai jambatan seperti Jambatan San Francisco,” katanya.
Projek jalan berkembar ini dijangka meningkatkan tahap aksesibiliti dan menyokong pembangunan pesat Jepak serta kawasan sekitarnya. Dengan rancangan pembangunan yang melibatkan fasa seterusnya, Jepak dijangka berubah menjadi kawasan yang lebih tersusun dan maju.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan; Speaker Dewan Undangan Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Asfia Awang Nassar; Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti), Datuk Dr. Haji Abdul Rahman Haji Junaidi; Penaung GPK Bintulu, Dato Sri Haji Mohd. Naroden Majais; Pengerusi GPK Bintulu, Yang Mulia Pengiran Dato (Dr.) Ts. Haji Daud Pengiran Putera; Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti dan Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu, Dato Haidar Khan Asghar Khan.