NOVEMBER 2024

Projek Jalan Matang, Jalan Batu Kawa-Matang Berjalan Lancar


KUCHING: Projek Jalan Matang dari Matang Jaya ke Jalan Matang dan Jalan Batu Kawa-Matang sedang berjalan lancar dengan status pembinaan mencapai 13 peratus lebih awal daripada jadual.

Ini didedahkan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas sambil berharap, jalan raya sepanjang 4.4 kilometer (km) itu dapat disiapkan secepat mungkin kerana kawasan tersebut sentiasa sesak.

Katanya, jalan raya baharu itu akan disiapkan dalam tempoh satu bulan dan akan digunakan bagi memberi ruang untuk menaik taraf jalan lama.

"Tidak lama lagi jalan ini akan dinaik taraf, dan apabila dinaik taraf dalam masa sebulan jalan ini akan digunakan agar mereka boleh memperbaiki jalan sedia ada.

"Ini strategi mereka kerana mereka mempunyai tenaga kerja dan sumber mencukupi. Kami yakin ia dapat dilaksanakan,” kataya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa melawat tapak projek tersebut di sini, hari ini.

Beliau juga berharap kemajuan projek meningkat kepada 20 hingga 30 peratus disebabkan kawasan yang padat dan sensitif.

Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak itu turut menjelaskan, pengalihan utiliti juga akan dilaksanakan membabitkan kos sebanyak RM20 juta.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong yang juga Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, sebahagian Jalan Matang Baru Fasa Dua dijangka dapat diakses pada Disember sepanjang dua km sebelum jalan sedia ada dinaik taraf.

Setelah siap naik taraf kedua-dua jalan tersebut ujarnya, prosedur yang sama akan dijalankan bagi lebihan jalan sepanjang 2.4 km.

Difahamkan, projek naik taraf jalan Matang akan siap sepenuhnya pada Julai 2025.

Turut hadir Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo.