Julai 2019

Projek naik taraf jalan Kampung Penasu Fasa I siap, bukti GPS prihatin


SIBU: Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa memahami denyut nadi penduduk di luar bandar yang dambakan pembangunan sama seperti di kawasan bandar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad berkata, selaku wakil rakyat, beliau akan terus giat merancang pembangunan di kawasan Daro agar turut berkembang maju, sama seperti tempat-tempat lain.

Untuk itu katanya, projek menaik taraf jalan Kampung Penasu Fasa I, sepanjang 466 meter yang menelan kos RM200,000, kini telah siap sepenuhnya, menjadi bukti kerajaan Sarawak di bawah GPS sentiasa prihatin dengan keperluan penduduk di kawasan luar bandar.

"Projek di bawah program Transformasi Projek Luar Bandar (RTP) ini bermula pada 15 Mei tahun ini dan jangkaan siap adalah pada September. Namun, memahami keperluan penduduk di kawasan ini, kita berjaya menyiapkan projek ini lebih awal iaitu pada 23 Julai lalu.

"Memberi manfaat kepada para penduduk di Kampung Penasu, khususnya untuk keselesaan dan keselamatan mereka," katanya.

Menurut Safiee, sebelum ini penduduk di Kampung Penasu hanya bergantung dengan titian belian (plankwalk), namun kini dengan siapnya jalan tersebut ia memudahkan pergerakan mereka termasuk untuk ke kebun.

"Jalan ini menghubungi jalan ladang untuk membolehkan penduduk kampung ke bandar Sibu,” ujarnya.

Beliau juga berkata, jalan ini juga akan disambung menuju ke lapan buah rumah panjang di Nanga Semah sepanjang hampir 11 kilometer.

Katanya, projek bernilai hampir RM35 juta telahpun diserah tapak pada bulan Mei lepas dan akan disiapkan dalam tempoh 24 bulan.

Sumber dari: Jiwa Bakti