JULAI 2025

RUU Tambah 17 Kerusi DUN Diluluskan


KUCHING, 7 JULAI 2025 - Perbahasan selama satu hari menyaksikan Rang Undang-Undang (RUU) penambahan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak diluluskan pada Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Keempat DUN Sarawak Ke-19 (Mesyuarat Khas) pada Isnin.

Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Asfia bin Awang Nasar mengumumkan kelulusan RUU itu selepas mendapat sokongan sebulat suara daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir.

Pertambahan kerusi ini menyaksikan jumlah keseluruhan meningkat daripada 82 kepada 99 kerusi.

RUU Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 itu dibentangkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap ADUN N.15 Asajaya, Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah.

Penambahan kerusi ini dibuat berdasarkan Perkara 113(2)(ii) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa untuk semakan semula persempadanan kawasan pilihan raya, termasuk bilangan keanggotaan, oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Terdahulu, Yang Amat Berhormat Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg menghadiri mesyuarat khas tersebut yang bermula pada jam 9 pagi. 

Sebelum diluluskan, ahli-ahli DUN Sarawak turut mengambil bahagian dalam ucapan perbahasan mengenai pertambahan kerusi DUN Sarawak. 

Seramai 31 ADUN mengambil bahagian sepanjang sesi perbahasan dengan menyuarakan pendapat dan isu-isu berkaitan keperluan RUU ini diluluskan. 

Mesyuarat diakhiri dengan usul penangguhan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (Pengajian Tinggi dan Inovasi) merangkap ADUN N.55 Nangka Datuk Dr Haji Annuar bin Rapa'ee. 

RUU ini dijangka membuka laluan kepada proses persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sarawak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebelum pilihan raya negeri akan datang.

Komposisi kerusi DUN Sarawak kali terakhir disemak pada tahun 2014 yang menyaksikan peningkatan daripada 71 kepada 82 kerusi.KUCHING, 7 JULAI 2025 - Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Gedong mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Amat Berhormat Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak petang pada Isnin. 

Kunjungan hormat kira-kira jam 4 petang itu diketuai Dato Sri Haji Naroden bin Haji Majais bersama kira-kira lebih 50 orang delegasi. 

Kunjungan dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Dato Sri Haji Naroden bin Haji Majais yang berkongsi kemajuan dinikmati Gedong dibawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Premier Sarawak selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong. 

Para KMKK yang hadir turut membaca doa Al-Fatihah dan bertafakur selama satu minit buat isteri kepada Premier Sarawak, Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Hajah Juma'ani Tun Tuanku Haji Bujang. 

Pada kunjungan ini, Premier Sarawak mendengar perkembangan perancangan beberapa projek pembangunan Gedong.

Kunjungan hormat berlangsung kira-kira satu jam itu selesai pada jam 5.05 petang dan diakhiri dengan merakam gambar kenang-kenangan berkumpulan bersama Premier Sarawak.