OGOS 2023

Sarawak Jalin Kerjasama Dengan Sweden Dalam Pengurusan WTE


STOCKHOLM: Kerajaan Sarawak akan terus menjalinkan kerjasama strategik dengan Kerajaan Sweden dalam pengurusan Sisa Buangan-Kepada-Tenaga (WTE).

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif seumpamanya amat signifikan dalam usaha mencari penyelesaian sistem pelupusan sampah yang lebih mampan di Sarawak.

Katanya, Sweden sudah maju dalam WTE dan terbukti berjaya menjana tenaga dari sisa pepejal itu berbanding negara Eropah lain.

“Sarawak juga memiliki sumber hampir sama, jadi kita turut mempunyai kemampuan untuk mencontohi kaedah pengurusan sisa pepejal di Sweden," katanya semasa mengetuai rombongan kerajaan Sarawak ke Agensi Tenaga Sweden (SEA) di sini pada Selasa.

Selain itu,  Premier Sarawak juga tertarik dengan sistem grid elektrik rentas sempadan di Sweden yang mengeksport tenaga ke negara-negara jiran seperti Denmark, Norway, Finland, Jerman, Lithuania dan Poland.

Katanya, Sarawak juga memiliki potensi keupayaan yang sama dengan Sweden dengan mengeksport tenaga elektrik ke negara jiran seperti ke Kalimatan, Indonesia.

Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Duta Besar Malaysia ke Sweden, Hafizah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni, Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Talat Mahmood Abdul Rashid, Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar.

Gambar: Rombongan Premier Sarawak mengadakan perjumpaan dengan Agensi Tenaga Sweden.

Sumber dari : Jiwa Bakti