KUCHING, 26 November – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg menekankan kepentingan sektor pertanian sebagai pemacu utama ekonomi negeri dalam usaha meningkatkan pendapatan isi rumah, khususnya bagi masyarakat luar bandar.
Berucap sempena Majlis Ulang Tahun Ke-100 Jabatan Pertanian Sarawak di Raia Hotel, beliau menggariskan bahawa sektor perindustrian menyumbang RM15 bilion atau 10.6% kepada keluaran dalam negeri kasar (KDNK) Sarawak pada tahun 2023. Walau bagaimanapun, usaha kini difokuskan kepada meningkatkan sumbangan sektor pertanian ke arah mencapai matlamat Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Walaupun Sarawak telah diiktiraf sebagai negeri berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia, ia tidak mencerminkan peningkatan pendapatan isi rumah rakyat Sarawak. Tanggungjawab kami adalah memastikan rakyat turut merasai status ini, agar tidak wujud ketidakseimbangan antara pendapatan negeri dan pendapatan rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan pentingnya ilmu pengetahuan dalam transformasi sektor pertanian, menggesa rakyat agar mengubah pendekatan tradisional kepada pendekatan yang lebih dinamik dan berorientasikan keuntungan.
“Pertanian hari ini bukan lagi bersifat subsistem tetapi satu bentuk keusahawanan. Ia mesti dilihat sebagai perusahaan perniagaan yang mengutamakan keuntungan. Jika tidak, ia akan kekal statik tanpa peningkatan pendapatan,” tambahnya.
Premier turut menyentuh kejayaan pembangunan dua komoditi utama, getah dan kelapa sawit, yang telah membawa manfaat besar kepada pekebun kecil dan pemegang tanah NCR (Native Customary Rights).
“Getah bukan tanaman asli kita, tetapi ia telah berkembang menjadi komoditi penting, hasil daripada usaha pembangunan oleh Rubber Board. Dengan adanya pembeli tetap seperti Dunlop, industri getah Sarawak kini berkembang hingga ke peringkat hiliran, termasuk pembuatan tayar dan produk sampingan,” ujarnya.
Beliau turut mengiktiraf kelapa sawit, yang juga tanaman import, sebagai salah satu penyumbang terbesar kepada ekonomi negeri. “Sarawak kini mengatasi Sabah sebagai pengeluar terbesar kelapa sawit di Malaysia. Ini bukan sahaja meningkatkan taraf hidup pekebun kecil tetapi juga memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pengeksport utama dunia bersama Indonesia,” katanya.