DISEMBER 2019

Sarawak Komited, Bersikap Adil - Abang Johari


KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengajak rakyat di negeri ini supaya terus mengukuhkan iltizam untuk menyumbang kepada keharmonian dan kemajuan dalam apa juga kapasiti dan peranan.

Beliau berkata, jangan terlalu taksub dengan apa juga peristiwa yang berlaku di luar Sarawak yang boleh memecahbelahkan rakyat seperti kata perpatah ‘bersatu kita teguh,bercerai kita roboh’.

“Saya memberi jaminan, kerajaan Sarawak tetap komited dan bersikap adil kepada semua kaum dan penubuhan Unit Untuk Lain-lain Agama (UNIFOR) adalah bukti komitmen kerajaan membantu agama-agama lain di samping agama Islam di negeri ini,” katanya dalam perutusan sempena Hari Krismas 2019.

Semangat perpaduan dalam pelbagaian semasa menyambut perayaan Hari Krismas hendaklah dipertahankan bagi menjamin masyarakat berbilang kaum di negeri ini terus hidup dalam suasana aman dan harmoni, katanya.

Menurut Ketua Menteri, sebagai sebahagian daripada rancangan pertumbuhannya, dalam masa terdekat PETROS akan diberi tanggungjawab mengurus perniagaan gas domestik di negeri ini yang kini di bawah Petronas.

Beliau berkata, dalam masa beberapa tahun akan datang akan menyaksikan penglibatan PETROS memandangkan lebih banyak pelaburan dijangka terbabit dalam industri minyak dan gas dan petrokimia di negeri ini.

Ini kerana katanya, kuasa mengurus selia terhadap sumber minyak dan gas adalah hak Sarawak di bawah Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO58), PETROS ditubuhkan bagi mengurus selia penyertaan Sarawak dalam aktiviti huluan dan hiliran industri minyak dan gas di negeri ini.

“Sarawak memperkenalkan aliran pendapatan baharu dengan mengenakan cukai jualan lima peratus ke atas eksport produk minyak dan gas yang dijangka mampu menjana pendapatan kira-kira RM3 bilion setahun selepas mendapati ia hak Sarawak,” katanya.

Mulai tahun depan, Sarawak turut mengenakan cukai satu peratus ke atas eksport produk aluminium seperti yang dikenakan ke atas minyak sawit sekarang supaya berlaku adil, katanya.

“Ini akan menambah hasil pendapatan yang akan dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk projek infrastruktur dan utiliti,” tegas Ketua Menteri dan menambah, susulan penubuhkan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) ia memberi fleksibiliti kepada Sarawak membiayai projek strategik tanpa membuat pinjaman dari luar.

“DBOS membolehkan Sarawak mendapat sumber pembiayaan projek tempatan kerana bajet tahunan kita kebiasaannya tidak mencukupi untuk membiayai pembangunan infrastruktur terutama di pedalaman,” katanya.

Rancangan membangunkan infrastruktur dengan peruntukan RM4.5 bilion di Hulu Rejang, kawasan tanah tinggi dan di utara dapat dilaksanakan dengan kemudahan kewangan yang ditawarkan DBOS, tegas beliau dan berkata: “Justeru, saya menyifatkan Sarawak sangat bertuah kerana memiliki DBOS yang diluluskan oleh Bank Negara untuk mempercepatkan pembangunan”.

Kerajaan Sarawak, katanya, sebagai sebuah kerajaan prihatin terhadap kesulitan yang dihadapi oleh rakyat telah melaksanakan beberapa program dan inisiatif untuk membantu mengurangkan beban kewangan terutamanya mereka kurang berkemampuan.

Mulai 1 Januari 2020, kos sehingga RM5,000 untuk menyambung bekalan elektrik ke rumah akan ditanggung oleh kerajaan.

“Jika kos penyambungan melebihi RM5,000 selebihnya akan diberi diskaun 70 peratus. Saya yakin inisiatif ini akan membolehkan lebih ramai rakyat yang kurang kemampuan untuk menikmati bekalan eletrik.

“Bagi kawasan luar bandar yang tidak dapat didatangi oleh grid utama bekalan elektrik dilaksanakan menerusi Skim Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES), menggunakan tenaga solar yang memberi manfaat kepada banyak penempatan di kluar bandar dan pedalaman.

“Kerajaan juga akan menanggung bil air sehingga nilai RM5 bersamaan dengan 11,300 liter air mulai 1 Januari 2020 yang dijangka menguntungkan 600,000 isirumah di seluruh negeri.

“Di samping itu, kerajaan Sarawak akan memberi bantuan sebanyak RM450 kepada ibu-ibu yang baharu bersalin pada tahun depan,” katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti