SHANGHAI: Sarawak yang menyasarkan kapasiti penjanaan tenaga 10 gigawatt (GW) menjelang 2030 dan 15GW pada 2035 berhasrat menjadi peneraju tenaga boleh diperbaharui di rantau ini, kata Premier Sarawak.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keselamatan serta kemampuan tenaga adalah asas penting kepada pertumbuhan ekonomi negeri yang pesat dan inklusif.
“Sarawak terus memacu agenda tenaga hijau menerusi Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P) yang dirangka khusus untuk menjamin masa depan tenaga mampan dan rendah karbon,” kata Abang Johari dalam teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan Petros), Datuk Ibrahim Baki pada Persidangan Tenaga Pintar dan Solar Fotovoltaik Antarabangsa (SNEC PV) Ke-18.
Beliau berkata, Sarawak turut meminda Ordinan Elektrik pada 2023 bagi mempercepat pembangunan tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan mini hidro.
Langkah ini juga membuka peluang kepada pengeluar tenaga bebas dan memperkukuh piawaian grid serta pematuhan alam sekitar, katanya dan menambah, setakat ini, Sarawak mencapai kapasiti penjanaan 5,898 megawatt (MW), dengan lebih 60 peratus disumbang oleh tenaga hidro.
“Bagi memperluaskan kapasiti solar, Sarawak menyasarkan 1,500MW menjelang 2030, termasuk pembangunan Ladang Solar Terapung Batang Ai 50MW yang beroperasi pada Disember 2024 — projek hidro-solar hibrid pertama di Malaysia.
“Susulan kejayaan tersebut, Sarawak kini meneroka lebih banyak projek solar terapung dengan kerjasama antarabangsa.
“Sarawak juga komited untuk menjadi pembekal tenaga kepada negara jiran, termasuk Sabah, Brunei, Semenanjung Malaysia dan Singapura menerusi sambungan kabel dasar laut,” katanya.
Abang Johari turut menjemput pemain industri menyertai Forum Tenaga Diperbaharui dan Kelestarian Sarawak Energy (SAREF 5.0) yang akan berlangsung di Kuching pada 3 dan 4 September ini, sebagai platform kerjasama bagi pertumbuhan mampan rantau Asia Tenggara.