SIBU, 22 Julai 2026 – Sarawak terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju ekonomi hijau dan digital dengan memanfaatkan sumber asli serta teknologi baharu sebagai pemacu utama pembangunan mampan, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg.
Beliau berkata, peralihan kepada ekonomi berasaskan tenaga bersih merupakan strategi penting Kerajaan Sarawak dalam menangani cabaran perubahan iklim di samping mewujudkan sumber pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan.
Menurutnya, pengambilalihan Empangan Bakun daripada Kerajaan Persekutuan merupakan langkah strategik yang membolehkan Sarawak mengawal sumber tenaganya sendiri dan memperkukuh kedudukan negeri sebagai hab tenaga hijau serantau.
Pada masa sama, kekayaan hutan hujan tropika Sarawak turut dimanfaatkan sebagai aset strategik menerusi mekanisme perdagangan karbon, sekali gus memastikan usaha pemuliharaan alam sekitar mampu menjana pulangan ekonomi kepada negeri.
Selain memperkukuh sektor tenaga hijau, kerajaan Sarawak turut memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi digital dengan menjadikan teknologi dan data sebagai asas dalam transformasi pentadbiran serta proses penggubalan dasar yang lebih cekap, tepat dan berpandukan fakta.
Tambahnya, teknologi digital bukan lagi sekadar satu kemungkinan, sebaliknya telah menjadi realiti yang mengubah cara dunia bekerja, mentadbir organisasi dan membuat keputusan.
Menurut beliau, penggunaan teknologi baharu termasuk blockchain membolehkan kerajaan memperkukuh sistem pentadbiran berasaskan data, sekali gus meningkatkan keupayaan merangka dasar serta perancangan pembangunan yang lebih strategik.
Oleh itu, setiap keputusan perlu disokong oleh analisis data yang tepat bagi memastikan pelaksanaan dasar benar-benar memenuhi keperluan rakyat dan perkembangan ekonomi semasa.
Beliau berkata demikian pada Sesi Townhall sempena Sambutan Hari Sarawak 2026 di Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Sibu.
Sesi tersebut dikendalikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, dan disertai kira-kira 1,000 pelajar daripada institusi pengajian tinggi serta sekolah.