OGOS 2026

TYT, PREMIER HADIRI MAJLIS SANTAPAN MALAM SEMPENA KEBERANGKATAN SULTAN PAHANG KE SARAWAK


KUCHING, 20 Ogos 2026 — Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg menghadiri Majlis Santapan Malam sempena keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah ke Sarawak, di Hotel Sheraton.

Ketibaan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak bersama tetamu diraja yang diraikan disambut Premier Sarawak dan dif-dif kenamaan yang hadir pada majlis berkenaan.

Majlis berlangsung dalam suasana penuh adat selain menjadi wadah bagi meraikan keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang serta memperkukuh hubungan silaturahim antara Pahang dan Sarawak.

Majlis turut diserikan dengan persembahan tarian selamat datang yang mengetengahkan kepelbagaian budaya dan warisan masyarakat Sarawak, selain tayangan video khas bertajuk “Pahang dan Sarawak: Sulaman Kasih Dua Persada” yang memaparkan hubungan erat dan jalinan persahabatan antara kedua-dua negeri.

Acara santapan turut diserikan dengan persembahan artis jemputan dan diselang-selikan dengan persembahan kebudayaan Iban, Melanau, Bidayuh, Orang Ulu dan Cina yang mencerminkan kepelbagaian etnik di Sarawak.

Majlis kemudiannya diakhiri dengan persembahan finale “Joget Jinak Merpati” dan “Berkikis Bulu Betis” sebagai simbol kemesraan, kesepakatan serta semangat kebersamaan antara kedua-dua negeri.

Esok, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dijadual berangkat ke Kampung Telok Melano, Sematan bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta meninjau kawasan sekitar KM 0.00 Lebuhraya Pan Borneo.

Lawatan berkenaan mencerminkan usaha berterusan dalam mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuh kerjasama antara Pahang dan Sarawak.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim Syed Ahmad serta menteri dan timbalan menteri, dif-dif kenamaan, rombongan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua masyarakat.