APRIL 2021

Tidak Berminat Ikuti Dasar Kabotaj, Fokus Lebih Tertumpu Lindungi Syarikat Perkapalan Sarawak – James Jemut Masing


KUCHING: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing dalam lawatan kerjanya ke Lembaga Pelabuhan Kuching (LPK), pada Rabu meninjau permasalahan berhubung gangguan sistem komputer yang berlaku pada bulan lepas.  

Menerusi tinjauan, beliau mengesahkan bahawa gangguan yang tidak dijangka tersebut disebabkan oleh bencana alam, dan pihak LPK telah melakukan yang terbaik untuk memperbaikinya.

Oleh yang demikian, jelas Tan Sri James Masing, penerimaan dan penghantaran kontena sepanjang pemadaman komputer itu diproses secara manual, dan syarikat perkapalan tidak boleh menjadikan ia sebagai alasan untuk meningkatkan kos pengguna yang menjadi pengirim.

Dalam pada itu, beliau akui telah menerima banyak surat dan panggilan telefon oleh peniaga dari Sarawak dan juga dari luar negara untuk mengikuti Dasar Kabotaj, yang mana merupakan undang-undang bagi melindungi syarikat perkapalan tempatan di Malaysia.

Namun, ujarnya buat masa ini beliau tidak berminat untuk melakukannya memandangkan kini beliau hanya memfokuskan usaha dalam melindungi syarikat perkapalan di Sarawak agar tidak bersaing dengan pengirim luar seterusnya mengenakan kos barang yang tinggi. -EDISI UKAS

Sumber dari : Unit Komunikasi Awam Sarawak