DISEMBER 2020

Tugu Pahlawan Dibina, Memperingati Pejuang Kemerdekaan


SIBU: Tugu Pahlawan Sibu, Rosli Dhoby akan dibina di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa II.

Tugu tersebut dibina bagi mengenang sejarah pejuang kemerdekaan Sarawak, Rosli Dhoby bersama-sama tiga rakannya. Tugu setinggi 30 meter itu dibina dengan kos RM700,000.

Penguasa Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sibu, Kiu Chiong Chong menyerahkan tapak Tugu Pahlawan Sibu kepada Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Clarence Ting.

Pembinaan tugu yang setara dengan ketinggian bangunan 10 tingkat akan bermula pada Januari tahun depan dan dijangka siap dalam tempoh enam bulan. 

Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapaee menyaksikan upacara tersebut.

Dr Annuar yang juga Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam memberitahu, pemilihan tempat itu untuk mendirikan tugu kerana kedudukannya yang penting dalam sejarah negeri Sarawak.

"Pemilihan tapak ini kerana peristiwa itu berlaku tidak jauh di sini, bagi memperingati keempat-empat pahlawan tersebut," ujarnya.

Menurutnya, rekaan tugu akan dilakukan oleh jurureka dari Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS).

"Reka bentuk tugu ini akan mengenang sejarah pejuang kemerdekaan yang membawa kesan mendalam kepada keluarga terlibat dalam tragedi berdarah ini.

“Kami hanya akan memaparkan warkah terakhir tulisan tangan Rosli Dhoby di Tugu Pahlawan Sibu," ujarnya.

Dalam pada itu, anak saudara Rosli Dhoby, Musa Ainie Dhoby yang menyimpan warkah terakhir Rosli Dhoby menyerahkannya kepada Dr Annuar.

Untuk rekod, pada 4 Disember 1949, Sir Duncan George Stewart, Gabenor Koloni British Kedua di Sarawak dikatakan dibunuh ahli Rukun 13, Rosli Dhoby, Awang Ramli Amit Awang Matsaruddin, Morshidi Sidek dan Bujang Suntong di Sibu.

Sumber dari : Jiwa Bakti