KUCHING: Penglibatan usahawan Bumiputera dalam perusahaan berasaskan kejuruteraan elektrik dan elektronik di Sarawak masih kurang.
Menteri Muda Utiliti (Bekalan Elektrik) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia mungkin disebabkan usahawan Bumiputera lebih cenderung menjalankan perniagaan berasaskan makanan.
Menurutnya, perusahaan elektrik dan elektronik ketika ini boleh menjadi bidang pernigaan yang boleh diceburi usahawan Bumiputera untuk memenuhi keperluan masyarakat.
“Sarawak yang mengalami pembangunan pesat ketika ini sudah pasti memerlukan banyak bekalan bahan mentah merealisasikan agenda pembangunan.
“Ia membuka ruang kepada usahawan termasuk Bumiputera untuk menjalankan perusahaan berasaskan kejuruteraan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan syarikat kejuruteraan A.U.M di sini, Khamis.
Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) menjelaskan, tempoh tiga tahun menyaksikan pembangunan di Sarawak berjalan begitu pesat.
“Ia merangkumi semua aspek pembangunan seperti jalan raya, jambatan dan kemudahan fizikal berskala sederhana dan kecil,” ujarnya.
Malah menurutnya, kerajaan Sarawak turut membangunkan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang menumpukan kepada kemudahan asas.
“Ia dicadangkan sepenuhnya oleh kepimpinan akar umbi iaitu JKKK,” jelasnya.
Tambahnya, pemilihan kontraktor dan pelaksanaan projek RTP dilakukan dan dipantau oleh Pejabat Residen bersama agensi-agensi pelaksana.
Sumber dari : TVSarawak