DARO: Kerajaan negeri mensasarkan semua kawasan termasuk pedalaman negeri ini bakal menikmati bekalan elektrik sepenuhnya menjelang tahun 2025.
Menteri Muda Utiliti (Bekalan Elektrik), Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, sasaran itu dapat dicapai berdasarkan peruntukan RM1.34 bilion telah diluluskan Kerajaan Persekutuan bagi tempoh 2016 hingga 2020 dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).
Bagi elektrik luar bandar sepenuhnya, peruntukan tambahan sebanyak RM6.7 bilion diperlukan daripada Kerajaan Pusat.
“Bekalan elektrik luar bandar (BELB) akan disalurkan ke setiap rumah dari Telok Melano sehingga ke Lawas menjelang tahun 2021 dan program ini berterusan kerana ia adalah sebahagian daripada program BELB,” katanya semasa perasmian Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Talian Grid Negeri Sarawak di Rumah Getai, Sungai Ilas di sini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad dan calon BN P207 Igan, Ahmad Johnie Zawawi.
Sejak 2009 katanya, lebih 120,000 isi rumah di luar bandar telah dibekalkan elektrik 24 jam dan liputan ini adalah sekitar 90% penduduk luar bandar.
Bagaimanapun, lebih kurang 30,000 isi rumah atau 10% penduduk luar bandar masih belum mendapat elektrik 24 jam.
Mengenai BELB di Rumah Getai ini, Dr Rahman berkata projek ini merangkumi Rumah Getai, Rumah Berahim, Rumah Johannas dan Kapitan Ming yang dilaksana kerajaan membabitkan peruntukan sebanyak RM4.63 juta membolehkan 400 isi rumah menikmati bekalan elektrik 24 jam.
Sehubungan itu, katanya, rakyat harus bangga kerana mempunyai sebuah kerajaan BN yang prihatin dan sentiasa mengutamakan aspirasi rakyat.
“Kita tidak ada pilihan lain di sini (Sarawak) selain BN. Oleh itu, anda mesti menyokong calon BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 ini demi kesenangan bersama,” katanya.