JUN 2018

ADUN Kabong ziarah Ramadan di surau Amanah Kampung Hilir


KUCHING: Sejumlah RM250,000 peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar 2018 diperuntukkan bagi kerja membaikpulih lampu jalan dan hiasan di kawasan Boyan, Gersik dan Soarabaya (BGS).

Menteri Muda Bekalan Elektrik, Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, sekiranya Tebingan Sungai BGS diterangi dengan lampu, aktiviti perniagaan boleh dijalankan sehingga waktu malam.

“Ini adalah untuk memastikan keselamatan dan kesenangan bagi mereka yang melawat BGS pada waktu malam namun semua pihak harus memainkan peranan menjaga kemudahan awam ini.

“Banyak program fisikal yang dijalankan terutamanya oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) untuk pembangunan kampung dan pelbagai tarikan diwujudkan di kawasan Kampung Seberang.

“Kini BGS merupakan lokasi yang harus dilawati di Sarawak kerana ada perniagaan homestay, kek lapis dan ikan terubuk,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Agihan Bubur Lambuk KJM BGS dan PBB Pantai Damai serta Sumbangan Ihsan Ramadan DUN Pantai Damai (Zon Seberang Hilir) di Esplanade BGS, Kampung Gersik, hari ini.

Seramai 71 penerima dari 14 kampung seberang di Petra Jaya menerima bubur lambuk dan sumbangan ikhlas dari Abdul Rahman.

Turut hadir isteri Abdul Rahman, Siti Shorgayah Ahmad Zaidin, Datuk Bandar DBKU, Datuk Abang Wahap Abang Julai.